‘Kehilangan’ Murilo Henrique dalam sesi latihan JDT terjawab, peliknya tak cukup bagus sampai ‘diturunkan pangkat’


  • Podium
  • Selasa, 14 Jan 2025

Murilo (kanan) tiada dalam sesi latihan skuad utama JDT selepas dia dilihat bersama JDT II. — JDT

TEKA-TEKI penyokong kehilangan pemain import Johor Darul Ta'zim (JDT), Murilo Henrique dalam sesi latihan Harimau Selatan telah menemui jawapannya apabila pemain berusia 30 tahun itu kelihatan beraksi bersama JDT II dalam saingan Piala MFL pada Selasa (14 Januari).

Murilo yang menjadi pilihan Hector Bidalgio dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) tiada dalam sesi latihan bersama skuad utama baru-baru ini yang sedang bersiap sedia untuk menghadapi cabaran Terengganu FC dalam kejohanan Piala Malaysia 2024-2025.

Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Johor Southern Tigers, Murilo kini berada di Perak untuk membantu JDT II terus memperkukuhkan kedudukan dalam saingan Piala MFL.

BACA LAGI: Kehadiran bintang warisan buka peluang pemain lokal tonjol prestasi terbaik — Safawi Rasid

BACA LAGI: 'Saya rasa lebih tenang dan cool', Safawi Rasid yakin TFC mampu ke pusingan kalah mati Piala Shopee

Selain Murilo, pemain veteran JDT, Shane Lowry juga diturunkan pangkat buat sementara waktu bagi membantu Harimau Selatan mengutip tiga mata penuh menentang Perak II di Stadium Manjung, Perak pada Selasa.

Walaupun ia merupakan keputusan yang baik daripada pihak pengurusan untuk memberikan kelebihan buat JDT II terus memperkukuhkan kedudukan selaku pendahulu Piala MFL.

Masih ada segelintir penyokong yang mempertikaikan keberadaan Murilo dalam skuad JDT II selepas pemain itu banyak mempamerkan aksi positif bersama Harimau Selatan.

"Kenapa Murilo main sini (JDT II) tak main skuad senior? Dia ini okay kot," kata Muhd Farid Saufi.

"Mungkin kecergasan dia (Murilo) kurang baik, dia pun lama cuti ini baru naik latihan semula," jelas Halim Samin.

"Akui Murilo bagus, tapi (Murilo ke JDT II) sebagai kekalkan kecergasan dan kekalkan momentum permainan dan untuk bimbing pemain-pemain muda dalam pasukan," ujar Yunos Yusof.

Untuk rekod Murilo bersama JDT musim ini, bekas rakan sepasukan Nooa Laine di SJK Seinajoki itu telah tampil dalam 15 penampilan dalam semua kejohanan bersama Harimau Selatan.

Pemain berketinggian 1.80 meter itu juga telah merekodkan satu gol dan tiga bantuan jaringan bersama JDT.

Kali terakhir Murilo diturunkan oleh Bidalgio dalam saingan Liga Super pada 9 Ogos lalu ketika bertemu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram