Bukan aksi 'mudah makan', Kedah perlu awasi gandingan 3 serangkai Sang Saka Biru bantu mara Piala Cabaran MFL


  • Podium
  • Sabtu, 18 Jan 2025

Sang Kenari akan berkunjung ke Stadium Selayang, Selangor pada Sabtu untuk menentang PDRM FC bagi separuh akhir Piala Cabaran. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC tidak dinafikan masih mengalami masalah kewangan namun ia bukan halangan besar untuk pasukan Hijau Kuning menyajikan perlawanan terbaik buat penyokong setia mereka.

Misalnya, skuad Hijau Kuning berhasil meraih tiga mata menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC meskipun baru saja kehilangan tiga pemain utama iaitu Sukhrob Nurulloev, Jose Cleylton dan Faiz Nasir.

Momentum kemenangan itu diharap dapat dibawa dalam perlawanan penting menentang PDRM FC bagi aksi separuh akhir pertama bagi merebut tiket ke final Piala Cabaran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) 2024/25 di Stadium Selayang, Selangor pada Sabtu.

BACA LAGI: Usah aibkan pemenang Piala Cabaran di sebalik kurang tumpuan

BACA LAGI: Maniam mula congak keutamaan demi pastikan PDRM capai kedudukan terbaik

Bagaimanapun, ia bukan perlawanan 'mudah makan' seperti dibayangkan oleh sesetengah penyokong pasukan Utara tanah air itu, susulan PDRM akan hadir dengan status sebagai juara bertahan.

Selain itu, pasukan yang sebelumnya dilabel sebagai 'The Giant Killer' itu juga sedang menunjukkan perkembangan positif di bawah kendalian P. Maniam apabila kini berada di tangga keenam Liga Super (21 mata) dan dibezakan satu mata dengan KDA FC di kedudukan ketujuh.

Kecemerlangan skuad The Cops itu juga dilihat berpunca daripada kehadiran beberapa pemain berkualiti di bahagian serangan dan pertahanan yang membantu PDRM FC mendapatkan keputusan positif.

Bagi memastikan Kedah boleh meneruskan rentak kemenangan, ini tiga elemen pasukan skuad Sang Saka Biru yang perlu diawasi Sang Kenari;

1) Trio serangan

DAYO

Ifedayo mengetuai jentera serangan PDRM FC. — Facebook/PDRMFC

Jika bercakap mengenai penyerang utama skuad Sang Saka Biru, nama Ifedayo Olusegun akan menjadi sebutan penyokong susulan reputasinya selaku pemenang Kasut Emas Liga Super pada 2020 dan 2021.

Musim ini, pemain yang pernah menyertai Kedah pada musim lepas itu masih menunjukkan bisanya dengan meletakkan dirinya selaku peledak utama dengan mencetak sembilan gol untuk pasukan Lembah Klang itu.

Selain Ifedayo, Maniam juga sebenarnya masih lagi boleh mengharapkan khidmat dua lagi penyerang mereka iaitu Shahrel Fikri serta Bruno Suzuki, yang masing-masing mencetak empat dan tiga jaringan gol.

Sekalipun tiga pemain itu tidak diturunkan serentak, namun masing-masing mereka mempunyai kepakaran sendiri dalam mencari peluang dan mencipta gol untuk memastikan The Cops berada di hadapan.

2) Gabungan duo bek import

KAPITAN

Obilor juga merupakan ketua pasukan PDRM FC. — Facebook/PDRMFC

Dalam aksi Liga Super menentang Kedah yang berakhir dengan keputusan 1-1 sebelum ini, menyaksikan Maniam memberi kepercayaan kepada import Myanmar, Kyaw Min Oo; bek kelahiran Nigeria, Faith Obilor dan tonggak lokal iaitu Badrul Afendy Fadzli.

Namun, kebiasaannya duo import itu sering dipasangkan bersama dan digandingkan dengan seorang lagi pertahanan lokal bagi membantu menjaga bahagian belakang pasukan Sang Saka Biru.

Kedua-dua bek import itu sudah bermain bersama dalam 16 aksi Liga Super, yang membuatkan mereka memiliki gaya permainan serupa hingga tiada masalah untuk berkomunikasi dengan baik.

Gabungan dua pemain itu menyaksikan Faith dan Kyaw Min membantu PDRM mencatatkan 23 jumlah bolos, catatan itu lebih baik daripada Sabah FC yang merekodkan 25 bolos meskipun berada di tangga ketiga Liga Super.

3) Penggiliran dua penjaga gol berkualiti

BRYAN

Bryan merupakan penjaga gol pertama The Cops. — Facebook/PDRMFC

Satu lagi eleman yang perlu diawasi Kedah sebelum berkunjung ke Selayang pada Sabtu adalah mempelajari dua gaya permainan penjaga gol mereka iaitu Bryan See dan Nor Hakeem Hamidun.

Jurulatih berusia 56 tahun itu dilihat penggiliran dua penjaga gol pada musim ini sebagai strategi untuk memastikan Bryan dan Nor Hakeem berada dalam keadaan terbaik sepanjang musim.

Jika dilihat dari segi catatan, Bryan merupakan penjaga gol utama susulan pemain berusia 31 tahun itu diberi kepercayaan dalam 14 perlawanan dan merekodkan dua clean sheets.

Manakala, Nor Hakeem merupakan penjaga gol jauh lebih mudah namun diberi pengalaman untuk menjadi benteng terakhir dalam aksi menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), Negeri Sembilan FC (NSFC), Kuala Lumpur City FC dan Sri Pahang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram