PDRM FC cemas sebelum bangkit diikat Kedah Darul Aman (KDA) FC di laman sendiri dengan keputusan 3-3 dalam aksi pertama separuh akhir Piala Cabaran di Stadium Selayang, Selayang, Selangor pada Sabtu.
Sang Saka Biru yang turun dengan modal sebagai juara bertahan Piala Cabaran memberi cabaran hebat apabila mereka dengan pantasnya mendapatkan gol pertama menerusi jaringan dari Bruno Suzuki pada minit kelima.
Jaringan yang dimanfaatkan menerusi situasi sudut itu menunjukkan bahawa pasukan tuan rumah turun dengan misi penting bagi memburu bekalan selesa sebelum berangkat ke Utara tanah air untuk aksi timbal balik.
BACA LAGI: Usah aibkan pemenang Piala Cabaran di sebalik kurang tumpuan
Manakala, Kedah yang turut membawa momentum positif hadir ke Lembah Klang apabila mencatatkan empat kemenangan dan juga satu keputusan seri dalam lima aksi terakhir mereka juga berusaha melakukan percubaan untuk mencari gol penyamaan.
Victor Andrag selaku pengendali interim Sang Kenari tidak meletakkan Syafiq Ahmad sebagai kesebelasan utama dan sebaliknya menurunkan Milos Gordic bersama Aiman Afif serta Fayadh Zulfikfli untuk menggerakkan serangan mereka.
Skuad Sang Saka Biru terus memperkukuhkan kedudukan apabila gandingan Hadi Fayyadh dan Shahrel Fikri membuka ruang kepada Ifedayo Olusegun untuk mendapatkan gol kedua buat pasukannya.
Ketinggalan 0-2 pada babak pertama itu membuatkan penyokong Hijau Kuning mula meletakkan kesalahan kepada penjaga gol, Wan Mohamad Syazmin Wan Mohamad Ruzaimi yang dianggap tidak cekap menampan bola.
"Penjaga gol apa itu, tumbuk bola pun tidak cekap," kata penyokong Kedah, Raja Utara itu kepada produk Piala Belia Kedah itu.
"Mana Ifwat (Akmal)?," tanya penyokong Sang Kenari, Tanpa Nama, yang mencari-cari penjaga gol berpengalaman itu.
Bersambung separuh masa kedua, seolah-olah mendengar keluhan penyokong menyaksikan Victor mengeluarkan Wan Mohamad Syazmin dan meletakkan Ifwat selaku benteng terakhir Kedah.
Sang Kenari bangkit mengejar Sang Saka Biru menerusi percubaan Milos Gordic yang menyambut hantaran Afeeq Ikmal. Permulaan positif pada babak kedua itu berhasil memberi harapan buat Kedah.
Tonggak sayap muda skuad Hijau Kuning, Aiman Afif mendapatkan gol penyamaan buat skuad Utara tanah air berkenaan, yang berpunca dari sepakan sudut Hasbullah Abu Bakar pada minit ke-54 perlawanan.
Kualiti sepakan dari Hasbullah terus membuat magis untuk Sang Kenari dan kali ini tonggak tengah itu memberi peluang kepada Akmal Zahir menanduk kemas ke arah gawang yang dijaga Bryan See pada minit ke-65
Memasuki minit ke-78 perlawanan, tandukan ke belakang dari Eizrul Ashraf yang tidak berhasil diselamatkan Ifwat berhasil membantu pasukan tuan rumah mendapatkan gol penyamaan.
Keputusan seri 3-3 hingga wisel penamat dibunyikan itu membuktikan pemain Kedah mempunyai semangat juang tinggi meskipun diuji dengan masalah tunggakan gaji yang tidak berkesudahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram