SKUAD Tok Gajah masih boleh menarik nafas lega apabila berjaya mengelak daripada mengalami kekalahan dalam separuh akhir Piala Malaysia selepas berkunjung ke Stadium Likas, Sabah pada Sabtu.
Mereka yang dibolosi pada babak pertama kepada jaringan Stuart Wilkin kelihatan sukar untuk membawa pulang bekalan selesa kerana setiap serangan dilancarkan tidak membuahkan hasil.
Namun, pada minit ke-66 permainan, Sri Pahang FC boleh melakar senyuman selepas kapten pasukan, Kpah Sherman mengikat kedudukan setelah menewaskan Damien Lim untuk menggegarkan jaring tuan rumah.
BACA LAGI: Orozco boleh jadi masalah kepada Pahang — Sean Selvaraj
BACA LAGI: Andai benar Pahang tiada lagi, 3 bintang Tok Gajah wajar sertai Terengganu, Perak, Selangor

Sean (kiri) juga berasa kecewa atas persembahan peribadinya yang longlai. — Facebook/Sri Pahang FC
Harapan untuk menambah jaringan bagaimanapun tidak kesampaian apabila tonggak Tok Gajah, Manuel Hidalgo dilayangkan kad merah kira-kira 10 minit selepas gol Kpah berikutan kekasaran dilakukan terhadap Dominic Tan.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan, sekali gus membuatkan aksi timbal balik di Stadium MP Temerloh, Pahang pada 2 Februari semakin mendebarkan kerana kedua-dua pasukan masih berpeluang.
Anak-anak buah Fandi Ahmad sudah tentu berkobar-kobar menjelang perlawanan berkenaan dengan ada daripada mereka yang mahu menampilkan persembahan lebih baik di hadapan penyokong sendiri.
Penyerang sayap, Sean Selvaraj merupakan antara yang sudah berikrar selepas menyedari aksi ditonjolkan dalam separuh akhir pertama kurang memberi impak positif buat pasukan.
"Saya sering mendesak diri untuk jadi lebih baik kerana saya tahu kemampuan diri sendiri. Saya bertanggungjawab atas persembahan di atas padang dan saya berjanji untuk terus bangkit," katanya.

Tangkap layar daripada hantaran Sean di Instastory peribadinya pada Ahad.
Ikrar tersebut diungkapkan menerusi satu hantaran di Instastory peribadinya selepas perlawanan yang menyaksikan sebahagian besar penyokong meluahkan rasa kurang senang terhadap sumbangannya.
Pemain berusia 28 tahun terbabit sepatutnya menjadi tonggak utama skuad Tok Gajah musim ini setelah menyertai mereka dari Negeri Sembilan FC, namun kekurangan minit permainan menyekatnya daripada meninggalkan kesan lebih besar.
Berdasarkan statistik, penyerang sayap itu hanya merekodkan satu gol daripada 13 penampilan secara keseluruhan buat Sri Pahang FC dengan jaringan terbabit terhasil ketika bertemu Selangor FC dalam Piala Malaysia.
Kehilangan Hidalgo sudah tentu meningkatkan tekanan buat Sean dalam aksi timbal balik kerana dia perlu memikul tanggungjawab mencipta peluang buat Kpah dan rakan sepasukan sekiranya mahu melangkah ke perlawanan akhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
