[VIDEO] Liga M bukan tahap 'The Engineer', Selangor sedia kehilangan Noor Rawabdeh


  • Podium
  • Khamis, 13 Jun 2024

Rawabdeh membuat penampilan sulung antarabangsa bersama Jordan pada 2019. — Instagram/Rawabdeh

PEMAIN kebangsaan Jordan menikmati cuti rehat antarabangsa yang indah apabila baru sahaja mencatatkan dua kemenangan menewaskan Tajikistan dan Arab Saudi untuk lolos ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

Perlawanan pertama pada edisi Jun ini, skuad The Chivalrous Ones tidak mempunyai masalah menewaskan Tajikistan 3-0 di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan dalam perlawanan kumpulan G saingan kelayakan pada 7 Jun lalu.

Manakala, kunjungan ke Stadium Universiti King Saud, Riyadh, Arab Saudi pula menyaksikan skuad kendalian Hussein Ammouta meraih kemenangan 2-1 ke atas Arab Saudi bagi mengesahkan slot ke saingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 pada Rabu.

BACA LAGI: 'Lebih baik duduk bench JDT', penyokong persoal corak permainan anak jati Kedah di HM

BACA LAGI: Dah sampai masa beri pendedahan', Adib Raop jadi modal penyokong banding dengan Akhyar Rashid

Kemenangan ke atas Arab Saudi dianggap salah satu pencapaian terbaik buat Jordan pada tahun ini lagi lagi-lagi reputasi skuad The Falcons sebagai pasukan yang pernah menewaskan Argentina pada peringkat kumpulan Piala Dunia 2022 itu.

Dua jaringan yang membantu Jordan menghuni kedudukan pertama dalam carta Kumpulan G itu dihasilkan oleh Ali Olwan pada minit ke-27 dan pemain tengah Selangor FC, Noor Rawabdeh memastikan tiga mata dimiliki skuad The Chivalrous Ones.

Jaringan dari Rawabdeh itu bukan hanya disenangi penyokong bola sepak Jordan, malah peminat Gergasi Merah juga tumpang gembira dengan satu lagi pencapaian dilakar pemain dengan jolokan 'The Enginner' tersebut.

Dengan kehebatan atas padang Rawabdeh bersama skuad kebangsaan Jordan, penyokong Gergasi Merah tidak hairan jika ada kelab dari liga lain akan cuba membuka harga untuk mendapatkan khidmatnya.

"Dengan kecemerlangan Noor (Rawabdeh) di kelayakan Piala Dunia, ada potensi tak Selangor bakal kehilangan khidmat Noor untuk musim depan? Nampak seperti Noor sudah berada di tahap yang jauh dan tinggi untuk Liga Malaysia," kata penyokong Gergasi Merah, Anaz Khalid.

Oleh itu, 'pemain ke-12' Selangor juga sepertinya sudah bersiap-sedia dengan berita penghijrahan pemain berusia 27 tahun itu walaupun kontraknya akan berakhir pada Mei 2025 nanti.

Untuk rekod, Selangor FC menandatangani Rawabdeh pada musim 2023 berikutan pengalamannya di Asia ketika membantu kelab Bahrain, Al-Muharraq memenangi Piala AFC pada 2021.

Rawabdeh boleh memainkan peranan sebagai pemain nombor enam (defensive playmaker) atau lapan (deep-lying playmaker), yang dilakukan rakan senegaranya Baha Abdelrahman tahun lalu untuk Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram