PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal berwajah baharu dengan revolusi sedang berlangsung dijangka membawa perubahan besar terhadap badan induk itu bagi tahun-tahun akan datang.
Ini dapat disaksikan apabila struktur baharu skuad kebangsaan menyaksikan kehadiran tiga individu luar negara dengan masing-masing memiliki kepakaran dan pengalaman cukup luas.
Perubahan berkenaan akan turut diterapkan dalam organisasi FAM selepas persatuan terbabit mendedahkan nama-nama calon yang bertanding dalam Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025 sehingga 2029.
BACA LAGI: Wajah baharu Kongres FAM: Zainal Abidin fokus ‘ubi muda’, Dollah Salleh mahu balas kepercayaan
BACA LAGI: Dana RM30 juta bukti kerajaan komited, FAM boleh beri imbuhan tinggi demi moral pemain
Berdasarkan perkongsian di laman media sosial persatuan, seramai 29 calon daripada 16 ahli gabungan yang sah diterima akan bertanding bagi mengisi kerusi ditetapkan, termasuk jawatan presiden.
Antara nama-nama yang tersenarai adalah dua legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh dan Datuk Zainal Abidin Hassan dengan masing-masing menerima respons positif daripada penyokong.
Namun, dalam kalangan individu yang bertanding, terdapat kehadiran figura politik dalam kalangan 18 calon bagi merebut lapan kerusi ahli yang mencuri perhatian ramai.
Ini kerana masing-masing enggan melihat badan induk tersebut terus dimonopoli individu dengan niat tersendiri sehingga menyebabkan industri sukan tanah air terus mundur.
"Apabila ahli politik berusia yang pegang jawatan, memang tidak kemanalah industri bola negara kerana masing-masing hanya fikir untuk dapatkan duit dan sudah terbukti daripada presiden sebelum ini.
"Aku lebih berminat sekiranya bekas pemain atau individu yang arif mengenai bola sepak atau sekiranya terlalu terdesak mahukan ahli politik dalam FAM, lantik seseorang yang pernah menaikkan bola sepak di peringkat negeri tanpa masalah," kata Adha Taha.
Dollah Salleh merupakan antara bekas pemain yang turut bertanding dalam kongres akan datang.
"Ramainye orang politik, minta jauhkankah mereka yang terlibat politik daripada FAM, tidak kiralah daripada parti mana sekali pun," kata Badrul Zaman Lepeh.
"Yang ada pangkat Datuk ni, tahukah mengenai selok-belok bola tempatan? Berilah mereka yang betul-betul menjawai sukan bola sepak untuk mentadbir," kata Akmal Hafiz.
Kehadiran ahli politik dalam landskap sukan tempatan, terutamanya dalam arena bola sepak bukanlah perkara janggal kerana melihat kepada kelab-kelab Liga Super, hampir kesemuanya masih dipengaruhi watak dalam kerajaan negeri.
Meskipun keberadaan mereka mampu memastikan terdapat penyaluran dana berterusan, tahap pengetahuan masing-masing tidak mencukupi untuk membawa pasukan ke satu tahap lebih tinggi.
Pengalaman sedemikian membuatkan majoriti penyokong mengharapkan FAM tidak terkesan, lebih-lebih lagi selepas menerima suntikan dana besar daripada kerajaan negeri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram