Terbuka India: Aaron-Wooi Yik kembali jumpa sentuhan sebenar, sah slot ke suku akhir


  • Podium
  • Khamis, 16 Jan 2025

Aaron dan Wooi Yik menampilkan aksi cemerlang untuk melangkah ke suku akhir Terbuka India. — Facebook/BAM

BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kembali menunjukkan prestasi cemerlang apabila mara ke pusingan suku akhir dalam Kejohanan Terbuka India pada Khamis.

Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Stadium Indira Gandhi, New Delhi, bekas juara dunia itu tidak berdepan banyak masalah untuk menyingkirkan pasangan China, Xie Hao Nan-Zheng Wei Han.

Aaron-Wooi Yik hanya memerlukan 34 minit untuk mencatatkan kemenangan selesa dengan keputusan straight set 21-10, 21-18.

BACA LAGI: Enggan ambil risiko, Ivan Mamut terlepas aksi bertemu JDT

BACA LAGI: Usia sudah lanjut, 3 import Liga Super 'diperam' dalam skuad Piala MFL

Kejayaan mara ke suku akhir pastinya mengubat kekecewaan Aaron-Wooi Yik selepas mereka sekadar menamatkan aksi Terbuka Malaysia di pusingan kedua apabila tewas 14-21, 18-21 kepada Lee Fang Chih-Lee Fang Jen pada Khamis minggu lalu.

“Saya fikir permainan kami sudah semakin baik jika dibandingkan dengan aksi sebelum ini dan minggu lepas. Kami secara perlahan-lahan sudah kembali mendapatkan momentum tetapi masih ada ruang yang boleh diperbaiki.

“Kami juga sedang menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk dan saya rasa ia semakin baik,” kata Aaron kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.

Menjelang suku akhir esok, Aaron-Wooi Yik akan menantikan pemenang perlawanan antara beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dan Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dari Thailand. — The Star/ADAM ZAMRI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram