PENDEDAHAN pemain muda kepada suasana bola sepak di luar negara merupakan satu pendekatan yang wajar diambil ibu bapa mahupun jurulatih kerana ia memberi pengalaman berharga di peringkat awal.
Namun, perlu diingatkan bahawa langkah tersebut bukanlah sesuatu yang mudah untuk diambil oleh rata-rata ibu bapa memandangkan mereka pastinya memerlukan wang yang banyak bagi menampung kos perbelanjaan.
Seperti kisah 'ubi muda' kelahiran Meru, Klang, Selangor iaitu Mustaffi Annaqi Syaffiq Azhar yang difahamkan menerima tawaran untuk mewakili Malaysia bersama pasukannya FC Setia Alam untuk kejohanan Manchester City Abu Dhabi Cup.
BACA LAGI: Nafikan banyak percubaan TFC, penjaga gol muda Selangor pukau fans Peteh, dipuji ekor Gergasi Merah
Bagaimanapun, kewangan yang tidak mengizinkan itu seolah-olah menyekat perjalanan Mustaffi Annaqi untuk menyertai rakan sepasukannya terbang ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Menurut ibu kepada Mustaffi Annaqi iaitu Amy Ameera Mohd Zahid, 33, anaknya yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu memerlukan kira-kira RM6,000 untuk menampung penginapan, penerbangan dan sedikit perbelanjaan sepanjang empat hari di sana.
Untuk rekod, kejohanan berlangsung dari 14 hingga 16 Februari, namun pasukan itu akan berada di sana sehari lebih awal dan pulang sehari selepas kejohanan.
"Sebenarnya, semua ibu bapa ada usahakan untuk mencari penaja untuk semua pemain. Macam Mustaffi, dia merupakan pemain yang ditaja sebab kami dari keluarga yang kurang mampu kan. Dalam dua ke tiga orang dapat tajaan.
"Jadi, dana yang kami cari ini untuk menampung tiket penerbangan dan perbelanjaan hotel. Dalam tournament fees itu hanya ada peruntukan untuk tarikh 14 dan 15, jadi perlu menumpang dengan ibu bapa lain untuk baki dua hari lagi.
"Sekarang ini, dana terkumpul kira-kira RM550. Tiket dia ke sana ada ibu bapa lain yang akan belikan dulu. Maksudnya, kami akan bayar kemudian," kongsinya kepada Majoriti sambil memberitahu Mustaffi Annaqi akan beraksi untuk Bawah 8 tahun (B-8) Setia Alam.
Amy Ameera berkata, peluang sebegitu rupa hanya datang sekali dalam seumur hidup selain yakin kejohanan berkenaan akan membantu anaknya yang berusia lapan tahun itu untuk menimba pengalaman dari barisan jurulatih akademi Manchester City.
Bercerita kepada Majoriti mengenai dunia bola sepak anak lelakinya itu, Amy Ameera berkongsi yang Mustaffi Annaqi mula berkecimpung sejak berumur empat tahun dengan menyertai Little League Soccer.
Prestasi cemerlangnya dalam menjalankan peranan sebagai pemain tengah dan pertahanan di akademi tersebut membuatkan FC Setia Alam menyerapnya dalam pasukan mereka sehingga kini.
"Buat masa ini, dia main tengah dan pertahanan. Antara dua itulah tapi kadang-kadang bergantung kepada jurulatih nak letak dia di (posisi) mana. Dari kecil kami dah hantar (main bola) dan jurulatih pun nampak dia boleh main sebelum diserap ke pasukan elit (Setia Alam).
"Sudah tiga tahun dia berada dalam FC Setia Alam ni. Sebelum ni, banyak juga kejohanan lain yang disertai pasukan berkenaan seperti Super Rimau, AV Sport. Untuk AV Sport, mereka jadi juara. Masa itu umur mereka 7 tahun tetapi menang untuk kategori 8 tahun," tambahnya.
Sekiranya terdapat pihak yang berminat menghulurkan sumbangan boleh hubungi Amy Ameera (011-1619 7044). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram