SUDAH dua tahun penyokong tanah air tidak mendengar berita pemain futsal kebangsaan mendapat tawaran beraksi dengan kelab berpangkalan di luar negara seperti Liga Thailand, Liga Thailand dan pelbagai lagi.
Muhammad Firdaus Zulkefli yang kini merupakan tonggak Selangor FC menjadi bakat pertama dari Malaysia beraksi dalam saingan Liga Futsal Thailand dengan menyarung jersi National Telecom FC bagi musim 2022.
Namun, siapa sangka Firdaus Zulkefli menjadi pemain tanah air terakhir berkesempatan untuk berkelana ke luar negara dan sejak musim lepas, tiada seorang tonggak tempatan berhasil memikat hati kelab-kelab negara jiran mahupun pasaran lain.
BACA LAGI: [VIDEO] Neymar respons isu cincin bernilai jutaan ringgit dicuri ketika salam peminat
BACA LAGI: 'Terima kasih Harimau Selatan', JDT penyumbang utama kelab Malaysia pintas Australia
Tidak pasti mana kurangnya bakat pemain tempatan namun bagi Qusmaini Rusli selaku jurulatih berpengaruh tanah air beranggapan fizikal tonggak negara dilihat kurang ideal untuk menjadi pilihan kelab luar negara.
"Kalau saya lihat dari segi teknikal kita tak terlalu jauh pun sebab dengan kemasukan banyak jurulatih-jurulatih luar dan juga pemain import berkualiti sedikit sebanyak mempengaruhi corak permainan dan taktikal pasukan.
"Itu mungkin dari segi aspek strength dan power. Sebab sekarang modal futsal trend baru ini memang individual fizikal itu sangat memainkan peranan. Contoh mempunyai berat yang ideal dan juga mempunyai ketinggian yang bagus kan untuk bersaing di peringkat antarabangsa," katanya kepada Majoriti.
Qusmaini Rusli (berbaju putih) merupakan salah satu jurulatih disegani tanah air. — Facebook
Jurulatih kelab futsal Indonesia, Rafhely United tersebut mengambil contoh pemain dari Asia Tengah seperti Afghanistan, Tajikistan, Kyrgyzstan dan Iran mempunyai fizikal yang ideal untuk menjadi buruan pasukan luar negara.
Menurutnya, pasukan dari negara berkenaan berhasil membuktikan fizikal adalah penting apabila menyaksikan Iran dinobatkan sebagai juara Piala Asia Futsal 2024 menewaskan Thailand dengan keputusan 4-1 di Bangkok, Thailand.
Uzbekistan dan Tajikistan juga membuktikan kualiti pemain mereka dengan masing-masing menghuni tempat ketiga serta keempat dalam kejohanan dwitahunan berkenaan.
"Kebanyakan mereka ini mempunyai struktur tumbuh badan yang baik dan pemain dari Afghanistan juga mampu memberi saingan bagus.
"Jadi pemain kita sedikit mungkin ada sedikit kekurangan di bahagian itu. Pemain kita mungkin perlu ditambah baik dari segi aspek kognitif," tambahnya yang pernah menjadi jurulatih Gombak Tot United.
Iran membuktikan kejaguhan dengan muncul juara Piala Asia Futsal 2024 setelah berjaya menundukkan Thailand 4-1 pada April lepas. — Facebook/AFC
Selain struktur fizikal, prestasi tidak konsisten skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa juga menjadi asbab pemain tempatan kurang laku dalam kalangan kelab luar negara.
Baru-baru ini, Malaysia sekadar menghini kedudukan ketiga peringkat kumpulan A dengan mengumpul enam mata, sekali gus menghentikan perjalanan skuad kebangsaan dalam Kejuaraan Asean 2024.
Ia merupakan kegagalan ke separuh akhir kali ketiga berturut-turut, seperti dialami pada edisi 2019 di Vietnam dan 2022 di Bangkok.
"Sebenarnya kalau nak ikut kita punya pemain dah ada sesuai main di luar. Cuma mungkin dengan prestasi pasukan-pasukan kebangsaan itu sedikit memberi kesan kepada kelab luar negara untuk memanggil pemain kita.
"Tapi mungkin kita boleh fokuskan cuba main di Liga Thailand kalau tak boleh tembus di divisyen satu, mungkin division dua. Boleh cuba begitu juga di liga negara-negara yang lain. Ia perlu galakan daripada kelab sendiri ataupun pemain," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram