Legenda Man United masih tak puas hati The Red Devils menang besar


  • Podium
  • Jumaat, 17 Jan 2025

Amad membantu Manchester United bangkit menundukkan kelab tercorot EPL Southampton 3-1 pada Jumaat.

KEBANGKITAN pada separuh masa kedua menerusi hatrik Amad Diallo membantu Manchester United bangkit menundukkan kelab tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL), Southampton 3-1 pada Jumaat.

Kemenangan itu akhirnya dapat membantu The Red Devils mengelak kalah kali keempat berturut-turut di laman sendiri. Sebelum ini, skuad kendalian Ruben Amorim tewas kepada Nottingham Forest, Bournemouth dan Newcastle di Old Trafford.

Pemain antarabangsa Ivory Coast itu layak dilabel sebagai tonggak cemerlang United musim ini apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-82 sebelum meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-90.

BACA LAGI: Bukan lagi Bruno, Amorim optimis 'Lord' Maguire adalah pemimpin sebenar Man United

BACA LAGI: Man United tak cari bek baharu sebab pretasi Maguire, Arsenal berpeluang bawa masuk 2 'winger'

Perjuangan Amad membantu Man United masih belum berakhir apabila memanfaatkan kesilapan bek The Saints, Taylor Harwood-Bellis untuk meraih gol ketiga pada minit keempat masa kecederaan.

Sebelum itu, pasukan bimbingan Ivan Juric terlebih dulu mendahului menerusi gol sendiri pemain tengah United, Manuel Ugarte dua minit sebelum rehat namun segala percubaan mereka selepas itu tidak diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Meskipun skuad The Red Devils berhasil meraih kemenangan besar namun ia masih tidak memuaskan hati legenda Man United iaitu Paul Scholes, yang menyifatkan Southampton bermain dengan baik dalam tempoh 80 minit daripada tuan rumah.

MAIN ISI

Legenda Man United, Paul Scholes.

"Selama tempoh 80 minit permainan, ia merupakan prestasi teruk dari Man United terutamanya menentang pasukan yang berada di bawah liga. Southampton jauh lebih baik daripada Manchester United dari segi menghantar bola secara teknikal dan taktikal.

"Hanya Amad Diallo yang menyinar dalam perlawanan itu. Saya masih fikir pengurus (Amorim) akan kecewa dengan prestasi ini, menentang pasukan yang bergelut untuk menjaringkan gol dan bolos begitu banyak.

"Amad adalah satu-satunya yang boleh mengambil kredit daripada permainan ini. Rasmus Hojlund juga tidak memberikan prestasi memberangsangkan. Southampton berada pada tahap yang berbeza. Amad Diallo yang membantu Man United menang," kata Scholes kepada TNT Sports.

Kemenangan itu melonjakkan United satu anak tangga ke tangga ke-12 dan menyaksikan Southampton ketinggalan 10 mata daripada zon selamat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram