Penduduk, persatuan peniaga di Kepong Baru desak jalan sehala dikekalkan sepanjang masa


  • Massa
  • Jumaat, 17 Jan 2025

Penduduk dan persatuan peniaga mahu laluan Jalan Bangau dari Jalan Mergastua ke Lorong Bangau 2 di Kepong Baru dijadikan jalan sehala secara kekal bagi melancarkan aliran trafik.

PERSATUAN Peniaga Pasar Pagi Kepong Baru mahu laluan Jalan Bangau dari Jalan Mergastua ke Lorong Bangau 2 di Kepong Baru, Kuala Lumpur, dijadikan jalan sehala secara kekal bagi melancarkan aliran trafik.

Pada masa ini, laluan tersebut hanya dijadikan jalan sehala antara pukul 6 pagi hingga 12 tengah hari pada hujung minggu ketika pasar pagi beroperasi atau semasa musim perayaan untuk membantu melancarkan trafik di kawasan itu.

Ini kerana, pasar tersebut mempunyai kira-kira 300 peniaga dan mampu menarik sejumlah besar pengunjung setiap pagi.

BACA LAGI : [VIDEO] Padah leka sesaat, pekerja kilang maut kepala tersepit mesin pemampat di Turkiye

BACA LAGI : [VIDEO] Bola kena tepat dada, remaja lelaki tak pasal-pasal hilang nyawa ketika liga belia di Brazil

Susulan itu, aktivis komuniti Yee Poh Ping, yang juga penasihat persatuan itu, menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melaksanakan sistem jalan sehala itu secara kekal kerana ia akan menjadikan kawasan tersebut lebih selamat untuk penduduk dan peniaga.

"Kami berharap jabatan penguatkuasaan trafik dapat membuat lawatan dan mengkaji aliran trafik di sini supaya mereka dapat merangka pelan pengurusan trafik yang lebih baik," katanya.

Jelas Poh Ping lagi, aliran trafik yang kurang lancar di kawasan itu juga disebabkan oleh kenderaan yang diparkir secara sesuka hati di tepi jalan.

Justeru itu, beliau mencadangkan agar papan tanda yang lebih besar dan penandaan jalan yang lebih jelas ditambah berhampiran persimpangan Jalan Bangau-Lorong Bangau 2 untuk memaklumkan kepada pemandu mengenai perubahan aliran trafik.

Penduduk turut meluah ada dalam kalangan pemandu yang meletakkan kenderaan secara haram dan menghalang pintu pagar rumah di kawasan tersebut. — Gambar Hiasan

"Kami memohon bantuan DBKL untuk mengemas kini penandaan jalan, menambah papan tanda yang lebih jelas, dan memasang papan tanda yang lebih besar serta mudah dilihat.

"Tambahan pula, Jalan Bangau adalah kawasan yang sibuk dengan pasar pagi popular yang menarik ramai pengunjung dari kawasan perumahan sekitar setiap hari," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Jalan Bangau, yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 60, meluahkan kebimbangan tentang pemandu yang meletakkan kenderaan secara haram dan menghalang pintu pagar rumah di kawasan tersebut.

“Ia menjadi sukar kerana apabila kereta menghalang laluan, pemandu memerlukan masa tambahan untuk mengemudi jalan,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa aliran trafik lebih lancar di mana sahaja sistem jalan sehala dilaksanakan. — The Star/MEGAT SYAHAR

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram