'Depan gol pun tak skor', fans minta pengurusan Selangor awal lepaskan import tak berbaloi


  • Podium
  • Ahad, 12 Jan 2025

Ronnie perlu memperbaiki gaya permainannya sekiranya mahu menambat hati penyokong Selangor FC. — Facebook/MFL

SELANGOR FC berjaya melunaskan hasrat untuk membalas dendam terhadap seteru setempat, Kuala Lumpur (KL) City FC dalam pertembungan Derbi Lembah Klang yang berlangsung di Stadium MBPJ, Selangor pada Ahad.

Gol daripada Alvin Fortes pada babak kedua permainan sudah cukup untuk memastikan tiga mata penuh dimiliki skuad Gergasi Merah dalam impian mereka beraksi di pentas Asia musim depan.

Bagaimanapun, penyokong sama ada yang hadir ke stadium mahupun menonton perlawanan di kaca televisyen kurang berpuas hati dengan persembahan skuad Gergasi Merah di laman sendiri.

BACA LAGI: Faisal Halim antara penerima Darjah, Bintang Sultan Selangor

BACA LAGI: Kerajaan Selangor masih tunggu laporan siasatan Faisal Halim daripada PDRM

473491066_18477166726006712_2772274847118801890_n

Persembahan Ronnie sekali lagi dikritik penyokong skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Selain terlalu perlahan dalam menggerakkan bola, Selangor FC kelihatan leka, lebih-lebih lagi selepas membuka jaringan sehingga membolehkan pihak lawan melakukan percubaan.

Namun, seperti biasa, tumpuan cemuhan diajukan kepada penyerang pasukan, Ronnie Fernandez yang beberapa kali mensia-siakan peluang di hadapan pintu gol.

Ini termasuk kegagalan menewaskan penjaga gol KL City FC, Azri Ghani ketika dia menerima hantaran daripada Alvin Fortes dengan hanya beberapa pemain pertahanan berada berhampirannya.

Berang akan gaya permainannya, penyokong sekali lagi meminta pihak pengurusan Selangor FC menggugurkan khidmatnya seawal mungkin selepas masing-masing berasa muak akan personalitinya.

"Ronnie ni 'kayu' sudah tahap apa sebenarnya? Setakat sepak bola ke arah penjaga gol, pemain Bawah 18 Tahun pun boleh lakukannya," kata Ahmad Najwan.

"Jual sahajalah pemain yang tidak boleh menjaringkan gol tu. Teruk, termasuk Ronnie. Yang main sepenuh hati hanya Fortes," kata Adam Yahya.

Dalam 14 penampilan musim ini, bekas penyerang antarabangsa Chile tersebut hanya mencatatkan lapan gol dengan amaun itu sepatutnya lebih besar memandangkan dia kerap dihidangkan peluang keemasan.

Namun, dengan gerak permainannya yang mudah dikekang, terdapat kemungkinan Selangor FC tidak akan melanjutkan kontraknya, lebih-lebih sekiranya mereka layak ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram