Bermula langkah kiri, Cleylton dibuang padang tak sampai 20 minit aksi debut di Indonesia


  • Podium
  • Selasa, 14 Jan 2025

Cleylton meninggalkan skuad Sang Kenari selepas berasa kecewa dengan pengurusan kelab itu. — Facebook/KDA FC

KEMELUT kewangan kronik dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC menyaksikan beberapa pemain meninggalkan pasukan tersebut demi memastikan 'periuk nasi' masing-masing terjamin.

Ini termasuk bek tengah dari Brazil, Cleylton da Silva yang boleh dikatakan sebagai import terbaik skuad Sang Kenari, baik dari segi pertahanan mahupun serangan.

Lihat sahajalah rekodnya di hadapan pintu gol sepanjang beraksi dalam Liga Super. Empat gol dan satu bantuan jaringan yang dicetak dalam 15 penampilan merupakan pulangan lebih baik berbanding dua penyerang utama, Ebenezer Assifuah dan Milos Gordic.

BACA LAGI: Baru keluar Kedah, Cleylton sudah dipinang Kim Swee dan 1 lagi kelab Indonesia

BACA LAGI: Tak sama hype seperti Bojan Ciger, nama Cleylton wajar jadi igauan lawan

3068648

Cleylton menjaringkan empat gol dalam Liga Super buat skuad Hijau Kuning. Facebook/KDA FC

Pemergiannya pada penghujung Disember sememangnya pahit untuk ditelan kerana penyokong Hijau Kuning beranggapan pihak pengurusan perlu mencuba sedaya upaya mengekalkan khidmatnya sehingga penamat 2024/25.

Namun, dengan keputusan sudah dibuat, Cleylton secara rasmi meninggalkan skuad Sang Kenari untuk menyertai kelab Indonesia, Persis Solo yang dikendalikan Datuk Ong Kim Swee.

Kehadirannya sememangnya diharapkan dapat mengubah nasib pasukan yang berada dalam zon penyingkiran memasuki perlawanan ke-18 dengan hanya 10 mata diraih.

Bagaimanapun, harapan menggunung penyokong itu dikecewakan terlalu awal apabila pemain terbabit dibuang padang dalam penampilan pertamanya dalam Liga 1 Indonesia.

db72748523a3737e25d9e156a1e83651-Cleylton-Santos-langgar-daisuke-(LIB)

Cleylton (atas) melakukan terjahan keras ketika cuba merebut bola di udara.

Dalam pertembungan berlangsung pada Isnin, Cleylton diletakkan dalam kesebelasan utama pada aksi yang berlangsung di laman sendiri untuk berdepan PSM Makassar.

Tetapi, selepas perlawanan baru sahaja 20 minit berlangsung, pertahanan berusia 31 tahun itu dilayangkan kad merah berikutan kekasaran ketika sedang cuba merebut bola daripada pihak lawan.

Berdasarkan ulang tayang, Cleylton kelihatan melompat terlalu tinggi untuk memintas hantaran tinggi, namun lututnya tepat mengenai tengkuk pemain PSM Makassar dengan kelakuan itu dilabel berbahaya.

Lebih malang lagi, pasukan kendalian Kim Swee tewas tipis 0-1 apabila benteng mereka dibolosi pada minit-minit akhir kepada Joao Pereira Albertine, sekali gus menyaksikan Persis Solo mengalami kekalahan ke-12.

Melihat kepada peraturan di Indonesia, bek baharu berkenaan terpaksa melupakan beberapa aksi sementara menunggu tempoh penggantungan terhadapnya berakhir atau rayuan dibuat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram