
DALAM usaha memperkuatkan lagi skuad kebangsaan menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027, beberapa pemain naturalisasi atau warisan baharu akan diperkenalkan tidak lama lagi.
Pengumuman tidak rasmi itu dikeluarkan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di media sosial dengan mengatakan pihaknya sedang menguruskan proses pemberian pasport terhadap mereka yang sudah dikenal pasti.
Kehadiran wajah-wajah baharu itu sudah tentu akan meningkatkan lagi kualiti Harimau Malaya yang sedang merosot sedikit demi sedikit kerana rata-rata tonggak tahun-tahun lalu semakin berusia.
BACA LAGI: Boleh ganti Saddil, 3 sebab Sang Badak perlu sambar penyerang kacukan Norway-Filipina
BACA LAGI: Pengarah Akademi JDT mahu guna khidmat 'ubi muda' kacukan termasuk pemain 'baka Haaland'
Tunku Ismail berkongsi perancangan masa depan skuad kebangsaan.
Namun, tidak semua pihak bersetuju dengan lambakan pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan memandangkan ia akan menghakis nilai pasukan negara di mata penyokong.
Tidak cukup dengan itu, kemasukan mereka akan menyekat peluang 'ubi muda' untuk menyarung jersi kebangsaan dengan ada daripada mereka yang sudah bersedia ke tahap tersebut.
Malah, ada dalam kalangan prospek tanah air ketika ini yang mempunyai pertalian darah dengan negara lain yang sudah tentu memaksa mereka mengubah kewarganegaraan sekiranya terus bercita-cita untuk beraksi buat skuad kebangsaan.
1. Christian Abad
Sepanjang dua jendela perpindahan Liga Super musim ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) membuat keputusan membawa masuk dua penjaga gol baharu, iaitu Andoni Zubizaurre dan Christian Abad.
Meskipun masih memiliki Ahmad Syihan Hazmi yang beraksi cemerlang, kehadiran kedua-duanya dibuat sebagai perancangan jangka masa panjang daripada pihak pengurusan, lebih-lebih lagi buat Abad.
Christian Abad merupakan penjaga gol berdarah kacukan Malaysia-Sepanyol. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Ini kerana pemain tersebut masih berusia 18 tahun dan layak mewakili Harimau Malaya kerana dia berdarah kacukan Sepanyol-Malaysia yang membuatkan penyokong teruja akan kebolehannya pada masa depan.
Bagaimanapun, sekiranya terdapat lebih ramai pemain naturalisasi akan hadir, tidak mustahil Christian Abad akan berasa kecewa dan pulang ke Eropah bagi mendapatkan minit permainan lebih kerap.
Walaupun Tunku Ismail tidak mengatakan terdapat penjaga gol baharu dalam kalangan pemain dikenal pasti, perubahan perancangan pada masa-masa akan datang berkemungkinan mendesak penjaga gol JDT itu membuat keputusan sedemikian.
2. Hong Wan
Sehingga hari ini, penyokong Harimau Malaya masih berasa aneh kerana pemain tengah skuad Harimau Selatan, Hong Wan masih belum menyarung jersi kebangsaan apabila dia kerap mengalami kecederaan setiap kali dipanggil.
Kehadirannya sememangnya diperlukan kerana kebolehannya mematahkan serangan dan melakukan hantaran tepat membuatkannya sebagai aset utama dalam Liga Super ketika ini.
Hong Wan juga layak untuk beraksi buat skuad kebangsaan China. — Facebook/MFL
Sekiranya Hong Wan terus menolak peluang beraksi buat Harimau Malaya, tidak mustahil barisan kejurulatihan meletakkan seseorang yang lebih bersungguh-sungguh untuk menyarung jersi pasukan negara.
Bagaimanapun, jika situasi itu berlaku, pemain berusia 24 tahun tersebut pasti tidak akan terlalu kecewa kerana hasratnya untuk beraksi di pentas antarabangsa masih terbuka luas.
Ini kerana Hong Wan turut layak beraksi buat skuad kebangsaan China berdasarkan pertalian darah dengan negara Asia itu sudah tentu tidak akan menolak pemain dengan kualiti sepertinya.
3. Saffy Zikry Ndongo
Dua tahun lalu, Penang FC II mencuri perhatian ramai selepas menandatangani penyerang berdarah kacukan Malaysia-Cameroon, Saffy Zikry Ndongo yang mempunyai fizikal cukup mengagumkan.
Meskipun baru berusia 19 tahun, pemain itu kelihatan tinggi lampai dengan kelebihan dimilikinya itu membuatkannya calon terbaik untuk menyarung jersi Harimau Malaya sekiranya sudah cukup matang.
Saffy Zikry mempunyai kelebihan dari segi fizikal. — Facebook/Penang FC
Bagaimanapun, sehingga hari ini, sinar baginya diserap ke dalam skuad kebangsaan masih samar-samar memandangkan dia masih belum membuktikan diri di peringkat kelab dalam saingan Piala MFL.
Peluang itu pasti akan tertutup rapat sekiranya Harimau Malaya dibanjiri pemain naturalisasi dengan sebahagian besar daripada mereka yang sudah dikesan akan beraksi dalam barisan serangan.
Jadi, sekiranya Saffy terus tersisih, dia sudah tentu akan terbuka untuk pulang ke Afrika dan menyertai skuad kebangsaan Cameroon meskipun tahu terdapat saingan hebat di negara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram