Ditawar RM1.3 juta ke Iran, fans restu tempoh 6 bulan 'loan' mampu naikkan nilai Arif Aiman


  • Podium
  • Jumaat, 10 Jan 2025

Arif Aiman (kiri) dikaitkan dengan kelab berpangkalan di Iran. — Facebook/JDT

PENYERANG sayap tempatan Arif Aiman Hanapi, kini menjadi bualan hangat penyokong domestik selepas difahamkan menerima tawaran pinjaman bernilai RM1.3 juta daripada sebuah kelab di Iran untuk beraksi dalam saingan Liga Persian Gulf Pro.

Memetik laporan Harian Metro, daripada tiga kelab yang difahamkan berminat terhadap pemain kebangsaan itu, terdapat satu pasukan menawarkan sejumlah AS$300,000 atau bersamaan RM1.3 juta untuk tempoh pinjaman selama enam bulan.

Meskipun tidak menyebut nama-nama pasukan itu namun antara yang dilaporkan berminat dengan Arif Aiman adalah Persepolis FC selepas mereka dikatakan mahu menggantikan khidmat penyerang sayap mereka iaitu Saeid Sadeghi.

BACA LAGI: 'Kalau pindah takut kena peram', ada fans JDT tak setuju Arif Aiman berkelana ke Iran

BACA LAGI: Jurulatih Persepolis cari pengganti bintang Iran, sedia tebus kontrak Arif Aiman?

Bagaimanapun, menerbangkan Arif Aiman ke negara Timur Tengah itu adalah satu perkara yang sukar susulan mereka perlu mendapat persetujuan dari majikannya iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT).

Menjengah ruangan di media sosial, ada yang menerima dengan baik dan terdapat juga penyokong Harimau Selatan kurang menggemari gosip perpindahan susulan masih ingin melihat pemain kebangsaan itu untuk terus mewarnai Liga M.

Sesetengah penyokong melihat tawaran tersebut berpotensi memberikan peluang besar kepada Arif Aiman untuk mempertingkatkan nilai pasaran dan kemampuannya dalam bola sepak antarabangsa.

aiman

Media Iran mengaitkan perpindahan Arif Aiman ke Persepolis.

"Layan dulu enam bulan itu Arif Aiman, tengok boleh pergi lebih jauh atau tidak. Dalam masa enam bulan itu, kalau perform boleh scouter kelab lebih atas pantau. Semoga Arif Aiman kekalkan konsisten dengan baik," kata penyokong JDT, Muhd Syahir.

"Insya-ALLAH JDT akan lepaskan Arif Aiman, JDT tidak pernah menyekat pemain mereka. Semuanya terpulang kepada Arif Aiman," pendapat penyokong Harimau Selatan, Man Bugis.

Ia mendapat sokongan padu daripada penyokong yang percaya, dengan latihan yang intensif dan pengalaman bermain di liga jauh lebih kompetitif, Arif Aiman dapat meningkatkan kualitinya sebagai pemain.

Bukan itu sahaja, beraksi dalam tempoh enam bulan bermain di Iran mampu memberi pendedahan yang signifikan untuk meningkatkan nilai pasaran pemain berusia 22 tahun berkenaan.

Musim ini, Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia sudah merekodkan 15 gol dan lapan bantuan jaringan dalam semua pertandingan termasuk empat gol di peringkat Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Statistik berkenaan dijangka terus bertambah baik memandangkan dia akan terus menjadi watak utama Hector Bidoglio dalam misi skuad Harimau Selatan untuk terus memenuhkan kabinet trofi mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram