SATU perkara yang bakal penyokong Liverpool saksikan apabila mereka turun menentang Manchester United pada Ahad adalah Trent Alexander-Arnold kekal sebagai pemain kelab itu.
Bukan itu sahaja, tetapi pemain pertahanan kanan itu dijangka akan terus memberikan aksi terbaik buat The Reds dalam usaha terus mengukuhkan cengkaman di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).
Itu yang dikatakan oleh pengendali The Reds, Arne Slot mengenai masa depan pemain itu yang masih di persimpangan dilema.
BACA LAGI: Bukan setakat Mo Salah, bek kental turut semakin jauh tinggalkan Liverpool
BACA LAGI: Tak rela kehilangan Trent, Liverpool tolak tawaran Real Madrid mentah-mentah
Pemain itu yang kontraknya akan tamat di Liverpool pada akhir musim, sedang diburu oleh Real Madrid. Walaupun sudah mula 'dilamar', tetapi kontrak belum lagi ditawarkan.
Disebabkan itu, Slot yakin pemain tersebut akan meneruskan persembahan baiknya dan tampil cemerlang buat The Reds.
"Saya boleh katakan yang dia akan beraksi pada Ahad dan harapnya dia akan meneruskan prestasi sama dia lakukan pada setengah tahun lalu.
"Saya rasa semua orang nampak betapa bagusnya dia pada separuh musim yang pertama, kita boleh nampak betapa mahunya dia untuk menang di sini.
"Saya lihat dia di padang latihan setiap hari, bekerja setiap hari. Dia begitu komited dengan kami dan akan beraksi pada Ahad," ujar Slot.
Dalam masa yang sama, cakap-cakap mengenai kontrak para pemainnya tidak menyebabkan keruntuhan motivasi dalam kalangan skuad Liverpool.
Selain Alexander-Arnold, Virgil van Dijk dan Mohamed Salah juga memasuki enam bulan terakhir dalam kontrak Liverpool mereka dan bebas bercakap dengan mana-mana kelab di luar EPL.
"Jika cakap-cakap mengenai kontrak para pemain menjadi punca jatuhnya motivasi pemain, maknanya kita benar-benar ada masalah.
"Jika anda bermain untuk salah sebuah kelab terbesar di dunia, semua orang akan bercakap mengenai anda, ada masanya mengenai hubungan dengan kelab lain. Perkara itu terjadi banyak kali terhadap pemain kami.
"Terdapat juga cakap-cakap mengenai pemain kami pada enam bulan terakhir dan saya tak rasa ia menganggu skuad kami," jelas Slot. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram