BUKANLAH satu permulaan yang diidamkan oleh beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah apabila mereka terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Terbuka Malaysia lebih awal.
Turun beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri pada Selasa, pasangan itu bagaimana pun tumpas kepada wakil Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Ramadhanti dalam pertarungan tiga set.
Pearly-Thinaah tewas 21-19, 14-21, 13-21 dalam tempoh masa 1 jam 3 minit.
BACA LAGI: Bumbung bocor, aksi Terbuka Malaysia tertangguh seketika
Gandingan baharu Indonesia berikan kesukaran buat Pearly-Thinaah. — BAM
Jelas kecewa dengan kekalahan tersebut, pasangan negara itu mengakui mereka gagal meneruskan momentum selepas berjaya mendapatkan set pertama.
Menurut Thinaah, mereka terikut-ikut persembahan pihak lawan hinggakan tumpas dua set berikutnya. Tambahan pula, pasangan Mayasari-Ramadhanti juga adalah gandingan yang baru dibentuk memberikan lebih cabaran buat mereka.
"Kami terikut-ikut permainan lawan di set ketiga dan itu adalah punca kami tewas. Kami kenal mereka sebagai pemain individu kerana sebelum ini mereka bergandingan dengan pemain lain.
"Tetapi apabila mereka digandingkan sekali, permainan menyerang mereka tidak boleh diduga dan menganggu rentak permainan kami.
"Kami perlu duduk berbincang dengan jurulatih kami untuk mengatasi perkara ini," jelas Thinaah.
Ia adalah kali pertama buat Pearly-Thinaah tumpas awal di Terbuka Malaysia sejak pertama kali menyertainya pada 2022.
Walaupun tumbangnya mereka, tetapi beregu wanita masih mempunyai wakil di pusingan seterusnya dengan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien berjaya mara.
Satu lagi pasangan beregu wanita, Ong Xin Yee-Carmen Ting akan beraksi pada Rabu dalam aksi sebelah petang. — The Star/R. KIRUBASHINI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram