DALAM dunia seni bina, setiap projek adalah hasil daripada pengaruh pelbagai elemen yang mempengaruhi rekaan dan fungsi.
Bagi arkitek Malaysia, sumber inspirasi mereka sering kali berasal daripada kepelbagaian yang wujud di dalam negara ini.
Ketika merancang sesebuah projek, kumpulan arkitek tempatan sering kali mendapat ilham daripada kepelbagaian budaya, keunikan iklim dan cara hidup yang membentuk landskap Malaysia.
Warisan binaan tempatan seperti rumah kampung Melayu membantu membentuk karya Eleena.
Arkitek tempatan, Eleena Jamil mencerminkan hal itu kerana dia sentiasa berusaha untuk menangkap inti pati Malaysia melalui projek pembinaan yang kaya dengan nilai budaya dan konteks tempatan.
Buku pertama Eleena, Essence of Place: Making Local Architecture memberikan pembaca pandangan mendalam tentang inspirasi seni binanya serta bagaimana reka bentuk kontemporari dipengaruhi oleh bentuk-bentuk tradisional Malaysia.
Anak jati Pulau Pinang itu sememangnya ingin menulis sebuah buku mendokumentasikan pengaruh seni bina yang diterima kerana ia mencerminkan keinginannya untuk menggali lebih dalam tentang idea-idea di sebalik reka bentuk.
"Saya rasa kadangkala perkataan dapat menyampaikan idea dengan lebih baik dan mengubah pemahaman tentang kerja seni bina saya lebih daripada lukisan atau gambar," katanya.
Bercerita lanjut, kesempatan untuk menulis datang secara tidak dijangka semasa pandemik Covid-19 apabila kebanyakan projek pejabat Eleena dihentikan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
"Sepanjang sekatan terutamanya kekangan untuk keluar dari rumah memberi saya ruang untuk fokus pada penulisan dan peluang mengembang kreativiti," katanya.
Berkongsi pengalaman, Eleena memerlukan sedikit masa memilih tajuk tepat untuk bukunya kerana mahu mencerminkan kerjanya yang berakar umbi dalam warisan budaya Malaysia dan iklim tempatan.
"Selepas berfikir panjang, saya memilih Essence Of Place: Making Local Architecture kerana ia menggambarkan kerja saya dan pengaruhnya dengan ringkas.
"Saya rasa kerja seni bina memberi nilai yang mendalam dengan inti pati Malaysia, maka tajuk ini dirasakan ideal," tambahnya.
Tidak lama selepas buku itu selesai dikarang, Eleena dihubungi oleh Artifice, sebuah syarikat penerbitan berpusat di Britain yang berminat menerbitkan bukunya dan dilancarkan pada Mei tahun lalu.
"Gembira mengetahui buku saya mendapat perhatian ramai memandangkan banyak usaha telah dicurahkan dalam proses penulisan," kongsinya.
Rumah kedai Cina merupakan antara elemen lain yang mempengaruhi reka bentuk kontemporari Eleena.
Rujukan budaya
Dalam bukunya, Eleena menggali pengaruh budaya yang membentuk pemikiran seni binanya.
Dengan merujuk kepada landskap Malaysia yang pelbagai, dia menyoroti beberapa pengaruh utama seperti reka bentuk rumah kampung Melayu, rumah kedai Cina dan seni bina kolonial.
"Rujukan budaya sedemikian bantu membentuk pemahaman saya tentang cara mencipta seni bina beresonansi dengan tempat dan sejarah," katanya.
Eleena menekankan kepentingan bentuk tradisional itu mempengaruhi reka bentuk kontemporarinya sambil mengekalkan hubungan kukuh dengan identiti budaya Malaysia.
"Bangunan-bangunan ini membantu saya memperoleh pengetahuan dalam mencipta seni bina yang juga berakar umbi pada tempat asalnya," jelasnya.
Pengaruh lain yang ketara terhadap kerjanya adalah amalan hidup di ruang terbuka.
"Cara hidup tradisional di ruang terbuka apabila kebanyakan kumpulan budaya secara tradisional makan, tidur dan bersosial juga memberi pengaruh penting dalam bagaimana saya melihat ruang seni bina.
"Keserbagunaan ruang ini menjadi sempadan antara fungsi kabur mendorong saya untuk mereka dan membina ruang yang menggalakkan interaksi sosial dan rasa komuniti," katanya lagi.
Eleena ingin mencabar pandangan bahawa semua bangunan kontemporari perlu seragam dan diperbuat daripada kaca serta keluli menerusi penulisan bukunya.
Mengatasi keraguan diri
Menulis sebuah buku bukanlah tanpa cabaran dan Eleena mengakui dia menghadapi pelbagai halangan sepanjang proses tersebut.
"Salah satu cabaran terbesar adalah penulisannya sendiri.
"Kadang-kadang sukar untuk menjelaskan sesuatu perkara dengan baik terutamanya apabila saya mengalami kebuntuan untuk menyampaikan idea dengan tepat," akui Eleena.
Cabaran itu menyebabkan dia melakukan beberapa kali semakan bab-bab buku tersebut selama lebih dua tahun dan terpaksa mengorbankan waktu malam untuk menyempurnakan idea-idea dan menyampaikannya dengan cara yang dapat berhubung dengan pembacanya.
Walaupun pengasingan semasa pandemik memberi peluang untuknya fokus pada penulisan, Eleena mendapati proses menyiapkan buku bertambah apabila dunia secara perlahan-lahan kembali normal dan kerja dari rumah tidak lagi menjadi keperluan.
"Buku ini belum selesai ketika larangan PKP ditarik balik, jadi agak sukar untuk saya mencari masa fokus kepada penulisan," katanya.
Walaupun menghadapi pelbagai halangan, Eleena meneruskan kerjanya kerana sangat bersemangat untuk berkongsi falsafah seni binanya dengan masyarakat.
Bahagian paling memuaskan dalam proses melengkapkan penulisan itu berlaku apabila arkitek tersebut menerima prototaip buku daripada penerbit.
"Menggenggam sebuah penulisan buku itu untuk pertama kali adalah satu detik kegembiraan dan kelegaan yang besar. Bersyukur kerana buku itu selesai akhirnya.
"Ada juga keraguan dan rasa takut sekiranya buku ini tidak akan diterima dengan baik atau penulisannya tidak cukup bagus untuk diterbitkan," kenangnya.
Eleena berjaya mengatasinya dengan memberi tumpuan sepenuhnya untuk menyiapkan buku tersebut.
"Mempunyai penerbit dan editor yang baik juga membantu menghilangkan beberapa keraguan tentang kebolehan saya untuk menulis.
"Saya sudah mencuba yang terbaik dan hasilnya tidak begitu penting pada saat ini," kongsinya.
Antara projek pembinaan dihasilkan Eleena.
Mengintegrasikan ciri-ciri budaya, sejarah dan keunikan dalam seni bina
Melalui Essence Of Place, Eleena berharap dapat mencabar pandangan bahawa semua bangunan kontemporari haruslah berstruktur seragam yang berkilat dari kaca dan keluli.
Dalam era globalisasi, di mana bandar-bandar semakin dipengaruhi oleh gaya seni bina yang serupa, namun Eleena mengutamakan seni bina mencerminkan identiti dan sejarah tempatan.
"Saya harap pembaca dapat melihat bahawa tidak semua bangunan kontemporari perlu berkilat dari kaca dan keluli serta kelihatan boleh ditemui di mana-mana bandar di dunia," katanya.
Dengan meneroka sejarah dan budaya yang membentuk kerjanya, dia berharap dapat memberi inspirasi kepada arkitek dan pereka muda untuk menghasilkan seni bina unik buat negara mereka.
"Secara keseluruhan, buku ini bukan hanya tentang seni bina, tetapi sebuah penghargaan kepada keindahan dan potensi identiti tempatan serta perayaan budaya dan tradisi yang membentuk tempat kita.
"Melalui kerja ini, saya berharap dapat menggalakkan pemahaman bahawa seni bina bukan sahaja berfungsi sebagai ruang, bahkan mencerminkan ciri-ciri unik tempat yang didiaminya," kata Eleena. — The Star/DHIVYA DANIELLE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram