Tak 'ngam' dengan pemain dipercayai antara punca Shin Tae-yong dibuang PSSI


  • Podium
  • Selasa, 07 Jan 2025

Mempunyai hubungan kurang baik dengan beberapa pemain dikatakan punca Tae-yong disingkirkan PSSI. — Agensi

JODOH Shin Tae-yong bersama Indonesia berakhir apabila Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) bertindak menamatkan kontraknya, sekali gus berakhir tempoh lima tahun bersama negara itu.

Pengumuman mengejut itu dibuat PSSI yang memaklumkan Tae-yong dipecat serta-merta daripada tugas selaku pengendali skuad senior Indonesia dan skuad bawah 23 tahun pasukan tersebut.

Tae-yong dilantik sebagai pengendali Indonesia pada 8 Januari 2020 dan telah memacu pasukan kebangsaan Indonesia meraih 26 kemenangan, 14 seri dan 17 kekalahan dalam 57 perlawanan.

BACA LAGI: [VIDEO] Revolusi Harimau Malaya buat Erick Thohir risau akan dipintas oleh Malaysia

BACA LAGI: Ejen Cristiano Ronaldo bakal adakan projek bersama TMJ, Erick Thohir?

Pengendali kelahiran Korea Selatan itu juga mengemudi pasukan di pentas Piala Asia 2023 selain kempen pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 yang masih berlangsung.

Pengumuman berkenaan masih menjadi topik penyokong seberang berikutan prestasi Tae-yong lagi-lagi dia merupakan jurulatih pertama yang membantu Sang Garuda mara sehingga ke pusingan 16 Piala Asia 2023.

Menjengah maklum balas di ruangan komen, ada yang mendakwa bahawa jurulatih berusia 54 tahun berkenaan mempunyai hubungan kurang baik dengan beberapa pemainnya.

“Tadi ada soalan wartawan sama ada hubungan buruk dengan pemain naturalisasi seperti Hilgers (Mees), Eliano (Reijnders), adalah salah satu faktor pemecatan STY (Shin Tae-yong)?

“Nampaknya Erick Thohir (Ketua Umum PSSI) tidak menafikannya. Jika itu salah satu sebab, untuk saya masuk akal, itu kerana STY agak degil dan mempunyai halangan bahasa,” dakwa penyokong Indonesia, Mas Nico.

Dalam pada itu, hanya beberapa jam selepas memecat Tae-yong, mereka sudah mengumumkan kemasukan ketua jurulatih baharu skuad Garuda iaitu Patrick Kluivert.

Lebih mengejutkan lagi, pengumuman itu dibuat wartawan bola sepak ternama, Fabrizio Romano yang mengesahkan legenda bola sepak Belanda itu dipilih PSSI dan dia akan diperkenalkan pada 12 Januari depan.

"Patrick Kluivert sudah menandatangani kontrak sebagai pengendali baharu skuad Indonesia. Kontrak dua tahun berserta pilihan dua tahun sama ada mahu melanjutkan atau tidak," katanya.

3103936

Kluivert dipilih PSSI dan dia akan diperkenalkan pada 12 Januari depan. — Agensi

Berdasarkan pemakluman itu, PSSI meletakkan sasaran kepada Kluivert untuk membantu skuad Garuda layak ke Piala Dunia dengan empat perlawanan berbaki dalam kempen kelayakan.

Sepanjang tempoh kejurulatihannya, Kluivert pernah berkhidmat sebagai pembantu pengendali di beberapa negara, seperti Curacao dan Cameroon selain pernah berkhidmat buat skuad belia.

Pasukan terakhir dikendalikan jurulatih berusia 48 tahun itu adalah Adana Demirspor di Turkiye dengan pengalaman diraih pasti diharapkan dapat membantu Indonesia ke tahap lebih tinggi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram