JOHOR Darul Ta'zim (JDT) akan terus membuat pelaburan bagi memperkuatkan pasukan dalam merealisasikan harapan melayakkan diri ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.
Ini kerana baru-baru ini, skuad Harimau Selatan dikaitkan dengan pemain dari Paraguay, Oscar Romero yang tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas kali terakhir mewakili kelab Brazil, Botafogo.
Khabar angin tersebut mula kedengaran selepas wartawan dari Amerika Selatan, Bruno Pont melaporkan JDT sedia menawarkan kontrak lumayan buat pemain berusia 32 tahun itu.
BACA LAGI: Gergasi Merah sudah ada pengganti Caion dari Paraguay
BACA LAGI: Hasil 'scouting' Marcote, Kedah terlepas jelmaan Darwin Nunez ke Selangor
"Kelab dari Malaysia, JDT difahamkan sudah membuat tawaran bernilai $2.5 juta (RM11.4 juta) kepada Oscar Romero. Jumlah ini lebih tinggi daripada apa yang Cerro Porteno boleh tawarkan," tulisnya pada Jumaat.
Perpindahan itu agak menarik untuk disaksikan kerana ketika ini, skuad Harimau Selatan sudah memiliki lambakan pemain yang boleh diturunkan sebagai pemain tengah.
Ini termasuk pemain paling bernilai dalam sejarah Liga Super, Jalil Elias yang hanya mencetak satu penampilan sebelum dipinjamkan ke kelab Argentina, Velez Sarsfield.
Bagaimanapun, terdapat kemungkinan skuad JDT hanya akan memantau perkembangan Romero memandangkan jendela perpindahan hanya akan dibuka pada Mei, iaitu selepas kempen 2024/25 berakhir.
Sebelum ini, pemain tengah itu pernah beraksi bersama beberapa kelab sekitar Amerika Selatan, termasuk Botafogo yang menjuarai liga Brazil dan Copa Libertadores tahun lalu.
Romero memiliki pengalaman beraksi di Asia bersama Shanghai Shenhua selama tiga musim. — Agensi
Malah, sepanjang kariernya, pemain berusia 32 tahun itu juga pernah berkelana sehingga ke China apabila menyertai Shanghai Shenhua pada 2019 dan kekal di negara itu selama tiga musim.
Pendedahan terhadap landskap bola sepak di benua Asia pasti menjadikan skuad Harimau Selatan tertarik untuk mendapatkan khidmat pemain itu walaupun tidak pernah berentap dalam ACL Elite.
Meskipun statistik jaringannya tidaklah begitu baik, peranannya sebagai pemain tengah diharapkan dapat membantu skuad Harimau Selatan, lebih-lebih lagi setiap kali mereka berentap di pentas Asia.
Sekiranya perpindahan itu dimeterai, JDT akan memiliki barisan tengah yang mantap kerana gandingannya bersama Hong Wan dan Afiq Fazail akan mencipta dimensi baharu buat pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram