BAHANG kejohanan pembuka tirai Jelajah Dunia BWF, Terbuka Malaysia semakin dirasai dengan tinggal empat hari sahaja sebelum pertandingan bermula.
Sudah pasti, harapan tinggi diletakkan oleh para penyokong badminton negara untuk menyaksikan para pemain beraksi cemerlang dan membawa pulang kejuaraan di pertandingan kelas Super 1000 itu.
Dengan tumpuan pastinya terarah kepada bintang-bintang seperti Goh Sze Fei-Nur Izzuddin, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M. Thinaah, fokus juga boleh ditujukan kepada wakil tunggal perseorangan wanita iaitu Goh Jin Wei.
BACA LAGI: Kecederaan tak sempat pulih, Lee Zii Jia terpaksa lupakan Terbuka Malaysia
Kecederaan Jin Wei menyekat persembahannya untuk kembali ke tahap sebelum ini. — The Star/IZZRAFIQ ALIAS
Dengan persembahan perseorangan wanita negara agak malap pada 2025, Jin Wei sebagai wakil tunggal bagi kategori berkenaan di Terbuka Malaysia diharapkan mampu menyerlah dengan persembahannya.
Tinggal beberapa hari saja pertandingan, persediaan Jin Wei dilihat dalam keadaan terbaik walaupun sebelum ini pernah mengalami kecederaan.
Bagi jurulatihnya, Nova Armada, kecederaan lalu menganggu prestasi Jin Wei kerana ia tidak mampu membuatkan pemain itu kembali ke tahap terbaiknya sebelum ini.
"Saya kira hasil daripada pembedahannya sebelum ini, dia sudah tidak mampu kembali ke tahap sebelum ini. Namun begitu, semuanya baik-baik saja, namun dia tidak mampu kembali ke tahap 100 peratus.
"Buat masa ni, persiapan semua baik-baik saja dan dia tidak mengalami kecederaan lagi. Sekarang dia sudah boleh berlatih penuh setiap hari walaupun tidak lama," kata Nova kepada Majoriti.
Bagi Terbuka Malaysia kali ini, Jin Wei diundi bertemu pemain India, Malvika Bansord di pusingan pertama.
Sasaran Nova adalah memastikan Jin Wei melepasi pusingan pertama dengan harapan apabila berdepan pemain pilihan ketiga dari China iaitu Yue Han, pemain itu mampu memberikan saingan sengit.
"Apa yang pasti, kena lepas pusingan pertama dulu. Harap lepas di pusingan awal.
"Sasaran saya apabila jumpa Yue Han, mesti berikan fight bila beraksi," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram