BULAN Januari ini merupakan musim jendela perpindahan buat negara-negara lain dan disebabkan itu banyak khabar angin mengaitkan beberapa pemain tanah air dengan kelab luar negara.
Antara desas-desus hangat yang singgah di saingan Liga Malaysia (Liga M) pada bulan ini ialah mengaitkan bintang utama Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi apabila dia dikaitkan dengan kelab Iran iaitu Persepolis FC.
Memetik laporan Bartarinha, khabar angin berkenaan mula timbul apabila penganalisis dan jurulatih Persepolis mula mengikuti penyerang sayap kanan kebangsaan itu di laman Instagram dan kemudian berhenti berbuat demikian.
BACA LAGI: Tak tunggu lama, Arif Aiman 'lepas geram' ledak hatrik lepas digantung 2 aksi
BACA LAGI: 'Insiden 'cabul' Arif Aiman kesalahan ganas', layangan 3 kad merah aksi JDT-Buriram tepat
Keinginan naib juara Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 itu untuk membawa masuk Arif Aiman adalah untuk menggantikan khidmat penyerang sayap mereka iaitu Saeid Sadeghi yang akan mencari angin baharu pada musim depan.
Khabar angin berkenaan diterima baik oleh penyokong Persepolis apabila rata-ratanya sudah membayangkan untuk melihat gandingan Arif Aiman dengan penyerang sayap kiri mereka, Oston Oronov.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama nama Arif Aiman meniti di bibir penyokong Persepolis apabila pada Julai lepas juga terdapat khabar angin mengaitkan dia dengan pasukan gergasi itu.
Saeid dikhabarkan akan meninggalkan Persepolis pada musim depan. — Agensi
Hal ini sekali gus mengesahkan reputasi dan kredibiliti Arif Aiman sudah disedari peminat bola sepak di Iran, lebih-lebih lagi selepas pemain berkenaan bersinar di pentas Asia.
Musim ini, pemain berusia 22 tahun berkenaan sudah merekodkan 15 gol dan lapan bantuan jaringan dalam semua pertandingan termasuk empat gol di peringkat Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Statistik berkenaan dijangka terus bertambah baik memandangkan dia akan terus menjadi watak utama Hector Bidoglio dalam misi skuad Harimau Selatan untuk terus memenuhkan kabinet trofi mereka.
Bagaimanapun, Persepolis perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk menebus kontrak Arif Aiman susulan pemain berkenaan sudah menandatangani kontrak lanjutan sehingga tahun 2028 bersama JDT.
Kontrak tersebut membuatkan kelab-kelab gergasi Asia termasuk dari Korea Selatan mahupun Jepun yang sebelum ini berhasrat memancing bintang Arif Aiman tidak kesampaian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram