BARU-BARU ini, kancah bola sepak tanah air dikejutkan dengan kenyataan daripada Kedah Darul Aman yang mendedahkan realiti semasa pasukan tersebut.
Perkara tersebut dikongsikan oleh pemilik pasukan, Tan Sri Daud Bakar yang menjelaskan bahawa pelbagai usaha telah dilakukan untuk memulihkan keadaan Sang Kenari.
Menurutnya, walaupun dinasihatkan untuk membubarkan KDA FC, usahawan kelahiran Kedah itu memilih untuk meneruskan perjuangan dan berjaya menyelesaikan tunggakan gaji musim 2023 sekali gus membolehkan Sang Kenari beraksi bagi musim 2024/2025.
BACA LAGI: Tak turunkan 'striker' import boleh jadi resipi Sang Penyu raih 3 mata di Myanmar
BACA LAGI: Baru keluar Kedah, Cleylton sudah dipinang Kim Swee dan 1 lagi kelab Indonesia
Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, penyerang legenda Sang Kenari, Hasmawi Hassan berkongsikan pendapat peribadinya mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Daud Bakar itu.
Menurutnya, usaha untuk mempertahankan legasi yang telah dibina memerlukan kerjasama dan peranan daripada semua pihak.
"Sayang legasi yang telah dibina, kita harap semua pihak memainkan peranan.
"Kita nampak usaha pihak pengurusan sekarang cuba membuat sesuatu tapi tak cukup, dia perlukan semua pihak yang mampu untuk membantu menyelamatkan bola sepak Kedah," katanya.
Terdahulu, tiga tonggak Sang Kenari, Cleylton Santos, Sukhrob Nurullaev serta Faiz Nasir mengambil keputusan untuk meninggalkan kelab yang berpangkalan di Utara tanah air itu.
Pemergian tersebut menyaksikan skuad Sang Kenari hanya memiliki dua penyerang import, Ebenezer Assifuah dan Milos Gordic bagi mengharungi baki musim 2024/25 yang menyulitkan lagi keadaan.
Kehilangan kesemua mereka menyukarkan KDA FC memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super yang kini menghuni tangga kesembilan liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram