Walau tak cemerlang atas padang, perubahan rumput Stadium Darul Makmur puaskan hati fans Tok Gajah


  • Podium
  • Sabtu, 04 Jan 2025

Perubahan positif di gelanggang Stadium Darul Makmur sedikit sebanyak dapat mengubati kekecewaan penyokong terhadap prestasi tidak menentu Sri Pahang musim ini. — Facebook/PSDM

SRI Pahang FC dijangka menggunakan Stadium Perbandaran Temerloh sebagai venue hingga penghujung musim ini berikutan rumput Bermuda Tifgrand hanya akan mencapai tahap matang dua bulan lagi.

Rumput jenis Bermuda Tifgrand mula ditanam penghujung November tahun lalu selain sistem siraman automatik telah dipasang dan berfungsi dengan baik.

Sebelum ini, Stadium Darul Makmur menolak untuk menggunakan Zeon Zoysia yang ditawarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menggantikan rumput jenis cow grass.

BACA LAGI: Tiga kelab Liga M termasuk Sri Pahang berputih mata, Jesper rupanya kembali warnai Liga Thailand

BACA LAGI: Baru keluar Kedah, Cleylton sudah dipinang Kim Swee dan 1 lagi kelab Indonesia

PSM

Kerja-kerja membaja sedang dilakukan oleh kontraktor. — Facebook/PSDM

Menurut satu hantaran yang dikongsikan oleh Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM) di laman Facebook, pihaknya sedang membuat kerja-kerja membaja yang dilakukan oleh pihak kontraktor.

"Kerja-kerja membaja dilakukan oleh pihak kontraktor. Antara baja yang digunakan ialah Baja Enzyme Bio- Stimulants, Baja Bio-Josh- XL dan Baja Urea bagi ketumbuhan dan kesuburan rumput," katanya.

Susulan itu, meninjau ruangan komen, ramai penyokong setia skuad Tok Gajah nampaknya berpuas hati dengan perubahan rumput di gelanggang keramat pasukan itu.

Menurut mereka, meskipun prestasi skuad kendalian Fandi Ahmad kini agak terumbang-ambing, perubahan positif pada gelanggang tersebut sedikit sebanyak dapat mengubati kekecewaan mereka.

"Semoga dipermudahkan urusan, sepatutnya benda ini sudah lama buat tapi tidak apa, slowly but surely, bila ada padang berkualiti, pemain pun seronok untuk bermain kerana padang merupakan benda penting untuk mereka, kita boleh tengok kualiti permainan yang meningkat naik," kata Daniel Akeem.

"Tidak apa, biar rumput betul-betul elok baru guna, musim 2025 main saja dekat Stadium Temerloh," kata Zahari Muhamad.

"Terbaiklah Perbadanan Stadium Darul Makmur, biar tak cemerlang dalam liga, yang penting rumput terbaik," kata Nordin Ahmad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram