TERENGGANU FC dijangka turun tanpa kelibat penyerang import aksi bertemu wakil Myanmar, Shan United FC dalam Kejohanan Shopee Cup yang akan berlangsung pada Rabu depan.
Tiga penyerang tersebut adalah Ivan Mamut dari Croatia, Ismaheel Akinade dari Nigeria dan penyerang baharu, Nelson Bonilla dari El Salvador.
Berita kurang baik itu dilihat sedikit mengganggu persiapan kem Sang Penyu yang turut berdepan dengan jadual padat.
Skuad Peteh dijadualkan berdepan tiga kelab gergasi dalam dua kejohanan berbeza, bermula dengan aksi di peringkat Kumpulan A bertemu wakil Myanmar sebelum kembali ke Gong Badak berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia, 17 Januari depan.
Berselang lima hari kemudian, Sang Penyu menanti kunjungan PSM Makassar untuk perlawanan keempat Shopee Cup pada 22 Januari.
Meskipun berdepan jadual padat dan kehilangan penyerang import, skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu dilihat masih berpeluang untuk meraih tiga mata di laman lawan.
Hal ini kerana, berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga resipi yang boleh diketengahkan oleh Sang Penyu untuk menundukkan Shan United.
Pemain sayap TFC, Akhyar Rashid. — Facebook/TFC
1. Turunkan Safawi, Akhyar
Menurunkan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid merupakan strategi utama Terengganu untuk menewaskan Shan United dalam Piala Shopee.
Kehebatan Safawi dalam menjaringkan gol dan Akhyar dengan kelajuan serta teknik menggiring bola memberi impak positif kepada serangan pasukan.
Gabungan kedua-dua pemain pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dapat membantu memperkukuh serangan dan meruntuhkan pertahanan lawan.
Oleh itu, Badrul Afzan perlu membawa masuk duo tersebut bagi menghidupkan bahagian sayap Sang Penyu dengan kelincahan yang dimiliki kedua-dua pemain itu.
Terengganu FC pastinya menaruh harapan tinggi kepada Engku Nur Shakir untuk membantu menggerakan bahagian tengah pasukan. — Facebook/TFC
2. Beri kepercayaan gandingan lokal
Memberi kepercayaan kepada gandingan penyerang lokal seperti Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob dan Muhammad Syahmi Zamri dilihat mampu membantu Sang Penyu di bahagian serangan.
Engku Shakir dijangka mengawal tempo permainan dan menyokong jentera serangan, manakala Syahmi yang merupakan pemain muda TFC mampu beraksi cemerlang sebagai penyerang utama dengan kelicahannya yang dimiliki di atas padang.
Keputusan itu menekankan keberkesanan strategi mempercayai pemain lokal dan tidak bergantung sepenuhnya kepada penyerang import.
Gandingan Shahrul Nizam Ros Hasni dan Safwan Mazlan diperlukan di bahagian pertahanan. — Facebook/TFC
3. Kukuhkan barisan pertahanan
Mengukuhkan barisan pertahanan adalah tugas penting bagi Sang Penyu agar tidak mudah dibolosi oleh lawan.
Walaupun memiliki jentera serangan yang tajam, ia bukan alasan untuk TFC mengabaikan kekuatan pertahanan.
Oleh itu, bek tengah TFC, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Safwan Mazlan, memainkan peranan penting dalam mengawal dan mengekang serangan lawan.
Dengan kehadiran kedua-dua pemain itu, pihak lawan dijangka sukar untuk menembusi pintu gawang Sang Penyu.
Terengganu kini di tangga kelima Kumpulan A dengan satu mata selepas dua perlawanan, satu kekalahan dan satu seri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram