Seiring revolusi skuad kebangsaan, media sosial Harimau Malaya wajar diasingkan dengan FAM


  • Podium
  • Sabtu, 04 Jan 2025

Revolusi Harimau Malaya boleh dilakukan bukan saja di padang tetapi media sosial juga. — FAM

PERMULAAN 2025 menyaksikan revolusi Harimau Malaya sedikit demi sedikit mengambil tempat.

Dari pengumuman Peter Cklamovski dan Nafuzi Zain sebagai pengendali skuad senior serta skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga menghebahkan kehadiran Rob Friend sebagai ketua pegawai eksekutif bagi pasukan kebangsaan.

Seiring dengan revolusi Harimau Malaya, mungkin ini adalah masanya untuk wajah pasukan kebangsaan di media sosial turut mengalami perubahan supaya tampil lebih segar.

BACA LAGI: Tak perlu pertikai rekod lama, Cklamovski perlu cepat buat kerja, faham budaya Harimau Malaya

BACA LAGI: 'Era baharu revolusi Harimau Malaya', FAM umum pelantikan saintis terkemuka Australia fokus prestasi, perubatan pasukan

Terima kritikan penyokong

Sebelum ini, laman media sosial FAM menerima kritikan penyokong menjelang Piala Asean pada Disember lalu. Penyokong berpendapat, rekaan poster dan pengisian media sosial FAM terhadap skuad kebangsaan tidak menarik.

Respons daripada FAM dapat dilihat apabila mereka mengubah corak persembahan poster hari perlawanan dan kesebelasan utama Harimau Malaya bagi Piala Asean. Pengisian itu tampak lebih segar dan menarik.

471159942_1293401588399741_1125334464693756496_n

Corak baharu poster kesebelasan utama dilakukan FAM bermula dari Piala Asean. — Facebook/FAM

Seiring dengan revolusi dilakukan struktur pasukan, FAM juga boleh melakukan perkara yang serupa pada corak penyampaian kandungan mereka berkaitan skuad kebangsaan di media sosial.

Dengan mengambil kira pendapat peminat dan merujuk kepada laman media sosial pasukan-pasukan dari seluruh dunia, FAM juga boleh mencipta 'DNA' bagi kandungan supaya dapat menarik perhatian penyokong.

Cipta laman khas untuk Harimau Malaya

Dengan revolusi yang sedang hangat diadakan, FAM boleh mengambil kesempatan untuk memisahkan media sosial badan induk itu dengan pasukan kebangsaan.

Ini bermakna, FAM membuka satu laman akaun khas untuk skuad kebangsaan seperti laman Harimau Malaysia yang pernah dicipta satu masa dulu. Namun begitu, laman tersebut ditutup oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sewaktu menjadi Presiden FAM pada 2017.

pssi

Laman PSSI (kiri) memfokuskan aktiviti persatuan manakala laman Timnas Indonesia (kanan) mengemas kini perkembangan skuad kebangsaan.

Akan tetapi, FAM boleh menghidupkan semula akaun tersebut dengan menggunakan nama Harimau Malaya supaya ia didedikasikan sebagai ruang untuk kemas kini berkenaan skuad kebangsaan.

Pendekatan tersebut adalah normal untuk pelbagai pasukan kebangsaan seperti England, Scotland, malah seteru utama iaitu Indonesia juga membuka akaun berbeza untuk pasukan mereka.

Akaun Timnas Indonesia digunakan untuk mengemas kini aktiviti skuad kebangsaan, sementara laman rasmi Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) pula sebagai platform badan induk itu berkongsi aktiviti terkini mereka sebagai persatuan.

Waktu menarik sedang menanti

Revolusi Harimau Malaya yang sedang dilakukan tidak dinafikan mencipta keterujaan penyokong. Tapi ada juga yang risau ia tidak menjadi seperti diharapkan.

Namun begitu, persepsi boleh diubah menerusi permainan di media sosial yang baik. Salah satunya adalah FAM membuka laman khas untuk Harimau Malaya.

Sebelum ini, ada juga penyokong yang hilang feel apabila kemas kini mengenai Piala Asean di laman FAM disulami dengan perkembangan lain dikeluarkan mereka.

Dengan adanya laman khas, ia boleh mencipta dan meneruskan hype Harimau Malaya tidak kira dalam apa juga pertandingan yang sedang disertai mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram