KISAH bek kiri Indonesia, Pratama Arhan mungkin mengecewakan penyokong Indonesia apabila dia dilepaskan secara rasmi oleh Suwon FC selepas kelab Korea Selatan berkenaan mengumumkannya menerusi media sosial mereka pada Rabu.
Arhan hanya beraksi sebanyak dua perlawanan sebagai pemain gantian sepanjang bersama Suwon. Pemain berusia 23 tahun itu turut merekodkan kad merah ketika beraksi menentang Jeju United pada 26 Mei lalu.
Namun, cerita seorang lagi tonggak skuad Garuda iaitu Asnawi Mangkualam yang sedang berkelana di Thailand berhasil menyembuhkan kekecewaan penyokong Indonesia terhadap Arhan.
BACA LAGI: [VIDEO] Pernah rantai Garnacho, media Indonesia percaya cuma Asnawi seorang mampu kekang Arif Aiman
Menerusi perkongsian wartawan Thailand, Ta Lao memberitahu Asnawi secara rasminya telah menyambung kontraknya bersama kelab gergasi Thailand, Port FC hingga 2029.
Berita berkenaan diumumkan oleh Port FC pada ambang tahun baru 2025 iaitu pada Selasa. Kelab divisyen satu itu kelihatan gembira dengan pengumuman berkenaan.
“Jumpa anda pada 2024 dan kemudian akan bersama sehingga 2029! Port FC mengumumkan lanjutan kontrak Asnawi Mangkualam Bahar.
"Pemain pertahanan pasukan kebangsaan Indonesia itu telah dilanjutkan empat tahun lagi atau sehingga akhir musim 2028/29. Bertahan dan kekal lama! Mari kita teruskan perjuangan bersama,” tulis Port FC.
Tangkap layar hantaran dari Ta Lao.
Pengesahan itu sekali gus menyaksikan Asnawi mencipta sejarah terbaru apabila menjadi pemain Indonesia paling lama beraksi di Liga Thailand sekiranya tiada mana-mana pasukan lain membuat tawaran sepanjang tempoh itu.
Watak utama Indonesia ketika Piala Asia 2023 itu menyertai Port FC sejak 2024, yang dibawa masuk dari kelab Korea Selatan, Jeonnam Dragons.
Ketika ini, bekas pemain PSM Makassar itu telah muncul dalam 30 perlawanan dalam semua pertandingan dengan satu gol dan empat bantuan jaringan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram