Jika suatu hari Malaysia enggan guna khidmat lagi, JDT sedia terima Rob Friend — TMJ 


  • Podium
  • Rabu, 01 Jan 2025

TMJ bersedia untuk menerima kedatangan Friend sekiranya pasukan kebangsaan sudah tidak berminat suatu hari nanti. — Facebook/JDT

PELANTIKAN Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend mendapat perhatian meluas daripada penyokong bola sepak tanah air susulan dia merupakan individu yang akan menggerakkan revolusi Harimau Malaya.

Antara yang memberi maklum balas baik mengenai pelantikan Friend adalah Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Beliau kagum dengan pengalaman hebat yang dimiliki oleh ahli perniagaan tersebut.

Menurut Tunku Ismail, melantik Friend yang memiliki wang, kelayakan, rangkaian dan pengetahuan dalam dunia bola sepak adalah satu keputusan yang amat tepat untuk membangunkan Harimau Malaya.

BACA LAGI: 'Bukan doktor yang tiada pencapaian', TMJ beri nafas baharu dalam sistem perubatan Harimau Malaya

BACA LAGI: 'Saya bukan warganegara Malaysia', kapten Burnley nafi sertai Harimau Malaya

“Keputusan terbaik melantik seorang jutawan yang cukup berkelayakan dengan pengetahuan bola sepak yang bagus, memiliki kenalan dalam dunia bola sepak dan sangat mencintai sukan ini,” ujar Tunku Ismail.

Tambah beliau, dengan portfolio hebat yang dimiliki oleh Friend, JDT bersedia untuk menerima kedatangan CEO Harimau Malaya itu sekiranya pasukan kebangsaan sudah tidak berminat suatu hari nanti.

“Dengan kelayakan sebegini, jika satu hari nanti Malaysia tidak mahukan lagi khidmatnya, JDT (Johor Darul Ta’zim) sedia mengalu-alukan beliau dengan tangan terbuka,” ujarnya di laman Instagram.

Friend yang berasal dari Kanada pernah beraksi bersama beberapa kelab terkemuka sepanjang kariernya antaranya Borussia Monchengladbach, Hertha Berlin serta LA Galaxy di Amerika Syarikat.

WhatsApp Image 2024-12-31 at 23.23.09

Tangkap layar hantaran daripada TMJ.

Bekas penyerang antarabangsa Kanada itu kemudiannya menceburkan diri dalam bidang pengurusan bola sepak selepas bersara dengan dia menjadi sebahagian daripada pengasas Canadian Premier League (CPL) pada 2019.

Friend turut aktif dalam pengurusan bola sepak yang bersifat luar padang. Tugasnya lebih tertumpu kepada urusan pentadbiran dan pembangunan strategik dan korporat sesebuah kelab.

Konglomerat itu akan memulakan tugasnya di FAM bermula pada Januari dan Friend akan bersama-sama Peter Cklamovski serta Nafuzi Zain memacu revolusi Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram