KEHILANGAN Saddil Ramdani yang dilaporkan mengalami kecederaan sememangnya memberi kesan terhadap Sabah FC meskipun terdapat pemain lain yang boleh diturunkan dalam posisi sayap serangan.
Ini kerana pemain Indonesia itu memiliki sentuhan mengagumkan untuk menewaskan pihak lawan selain berkebolehan mencipta peluang daripada situasi bola mati, terutamanya ketika sepakan percuma.
Namun, sejak pertengahan musim 2023, penyerang sayap itu kerap berdepan masalah kecergasan sehingga menyaksikan skuad Sang Badak terpaksa memberi kepercayaan kepada pemain lain.
BACA LAGI: Nama Saddil Ramdani kembali panas di Indonesia, media Malaysia pula dipersalahkan
BACA LAGI: Sabah FC sah buru striker baharu, tepis dakwaan Saddil sudah ‘angkat kaki’
Kualiti Saddil menjadikan jentera serangan skuad Sang Badak kian digeruni.
Bagaimanapun, di sebalik laporan mengenai kecederaan dialami, terdapat pula ura-ura mengatakan Saddil tidak diturunkan kerana protes terhadap pihak pengurusan yang terus mengabaikan kebajikan pemain.
Persepsi tersebut timbul selepas pendedahan pelbagai individu yang menyatakan skuad Sang Badak mengalami masalah tunggakan gaji serius dengan isu berkenaan punca beberapa figura penting meninggalkan pasukan, seperti Datuk Ong Kim Swee dan Rizal Ghazali.
Masalah itu difahamkan sudah diselesaikan ketika ini memandangkan skuad Sang Badak berada dalam prestasi cemerlang berikutan kemaraan bergaya ke separuh akhir Piala FA dan menduduki tangga ketiga Liga Super.
Tetapi, sekali pun kemelut berkenaan tidak lagi membelenggu pasukan, ia masih tidak menutup ura-ura mengatakan Saddil akan berkelana apabila baru-baru ini, dia seperti memberi bayangan mengenai destinasinya selepas ini.
Dalam hantaran terbaru di Instagram peribadinya, pemain sayap berusia 25 tahun itu bertindak mengetik butang 'like' terhadap komen mengharapkannya berpindah ke gergasi bola sepak Indonesia, Persib Bandung.
Mesej tersirat atau hanya usikan daripada Saddil?
Penghijrahan itu sememangnya berpotensi untuk direalisasikan kerana kelab bimbingan Bojan Hodak tersebut berada di kedudukan teratas Liga 1 Indonesia memasuki pertengahan musim.
Selain itu, Saddil pernah dikatakan terbuka untuk pulang ke negara kelahirannya kira-kira setahun lalu supaya boleh berada lebih hampir dengan ibunya yang kian berusia.
Bagaimanapun, personaliti tonggak skuad Sang Badak itu yang kerap bergurau-senda membuatkan sebahagian penyokong kelab Borneo tanah air tersebut tidak begitu menghiraukan gosip perpindahan berkenaan.
Tetapi, sekiranya Saddil akhirnya memilih untuk berkelana, mereka sudah tentu tidak akan dapat melupakan segala memori ditinggalkan pemain sayap Indonesia tersebut sepanjang kira-kira tiga musim setengah berkhidmat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram