BEKAS juara bertahan Liga Wanita Nasional (LWN) 2023, Sabah FA terpaksa akur apabila gagal mempertahankan gelaran itu musim ini.
Pasukan yang berpangkalan di Borneo itu terpaksa berpuas hati apabila menghuni tangga kedua di belakang Kelana United FC selaku juara kempen LWN 2024.
Pasukan yang dikendalikan oleh Muhd Arziz Afizy Rumsani selaku pengurus pasukan itu boleh dianggap menyerahkan baton kepada Kelana United untuk mewakili Malaysia dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Waniita (AWCL) musim depan.
BACA LAGI: Layangan kad merah 'bunuh' momentum Sabah FA, Kelana United muncul juara LWN 2024
BACA LAGI: Bakal berdepan juara LWN 2024, ada 3 sebab Sabah FC perlu awasi Steffi-Intan Serah
Tonggak Sabah, Adeline dilayangkan kad merah selepas dikesan melakukan kekerasan terhadap pemain Kelana United.
Sabah yang muncul juara LWN 2024 sebelum ini turut berpeluang beraksi di pentas Asia namun kandas di peringkat Kumpulan C dan hanya membawa pulang satu mata ke tanah air selepas aksi di Wuhan, China berakhir.
Bagaimanapun, perlawanan antara Sabah dan Kelana United di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini dicemari dengan insiden layangan kad merah.
Pengadil perlawanan yang tidak teragak-agak melayangkan kad merah kepada pertahanan The Rhinos, Rosdianah Adeline Jerus dikecam oleh peminat bola sepak tanah air.
Hal ini kerana, pengadil berkenaan dilihat terburu-buru dalam membuat keputusan sehingga menyebabkan Sabah terpaksa bermain dengan 10 pemain di atas padang tanpa memberi amaran.
Layangan kad merah itu berpunca selepas Adeline dikesan melakukan kekerasan ke atas pemain tengah Kelana United, Nur Salina Bel.
Mengulas lanjut mengenai insiden itu, Adeline berpendapat bahawa pengadil perlawanan perlu memberi kad kuning sebagai amaran pertama.
Pertahanan Sabah FA, Adeline.
Namun, dia menerima layangan kad merah tersebut dengan hati yang ikhlas.
"Dari segi mutu pengadilan, terdapat beberapa insiden yang menimbulkan persepsi bahawa pengadil mungkin lebih menyebelahi pasukan lawan, yang sedikit mengecewakan.
"Bagi saya, sepatutnya pengadil memberikan kad kuning sebagai amaran pertama, namun menurut beliau, tindakan tersebut mungkin layak untuk kad merah kerana isyarat yang diberikan sudah cukup jelas," katanya kepada Majoriti.
Meskipun terkilan dengan keputusan pengadil tersebut, Adeline sangat berbangga dengan rakan-rakannya yang mempamerkan saingan tinggi aksi di Stadium Merdeka itu.
"Secara keseluruhan, pasukan saya bermain dengan baik walaupun terpaksa beraksi dengan hanya 10 pemain.
"Mereka berjaya meraih tempat kedua dan walaupun tewas, pencapaian itu masih boleh diterima. Jika perlawanan berakhir dengan keputusan seri, ia juga boleh diterima kerana, meskipun kekurangan seorang pemain, kami hampir meraih keputusan yang lebih baik," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram