[VIDEO] 'Musim terbaik saya bukan bersama Persija', Bambang Pamungkas dedah detik istimewa di Selangor


  • Podium
  • Khamis, 11 Mei 2023

Bambang boleh dianggap sebagai seorang legenda Selangor berdasarkan sumbangannya bersama kelab Lembah Klang itu.

TIDAK boleh dinafikan gergasi bola sepak tanah air, Selangor FC memiliki senarai legenda yang pernah menyumbang keringat bersama kelab Lembah Klang itu.

Ia dikatakan resipi pasukan berkenaan untuk mencapai kejayaan generasi demi generasi, termasuk menjulang Piala Malaysia sebanyak 33 kali sejak penubuhan mereka.

Salah seorang pemain yang pastinya tidak boleh dilupakan ialah pemain kebangsaan Indonesia, Bambang Pamungkas yang beraksi bersama Selangor FA untuk beberapa musim.

Penyerang yang kini sudah menganjak usia 42 tahun itu pernah bergelar pemain skuad Gergasi Merah dari 2005 hingga 2007 yang mana merupakan tahun terbaik mereka.

Ini kerana pasukan berkenaan muncul sebagai pasukan negara yang pertama mencatatkan gelaran treble apabila menjulang tiga trofi dalam satu musim, iaitu pada 2005.

WhatsApp Image 2023-05-11 at 14.54.32

Bambang (tengah), duduk ketika menjuarai Piala FA 2005.

Kehadiran Bambang yang memiliki kepantasan dan rembatan kencang menjadi punca skuad bimbingan Datuk Dollah Salleh itu meraih kejayaan demi kejayaan.

Namun, sejak meninggalkan pasukan itu, pemain dengan ketinggian 1.7 meter tersebut jarang menerima perhatian media tempatan meskipun statusnya sebagai legenda sukar untuk dipersoalkan penyokong Selangor FC.

Tetapi, kebelakangan ini, nama Bambang kembali menerima perhatian selepas dia menegaskan momen terbaik dalam kariernya adalah ketika menyarung jersi skuad Gergasi Merah.

"Jika ditanya apakah musim terbaik saya selama berkarier, maka jawapannya bukanlah bersama Persija (Jakarta) kerana musim terbaik dalam karier saya adalah pada 2005.

"Ia ketika di mana saya bermain di Malaysia bersama Selangor dan saya muncul sebagai juara Liga Super, juara Piala FA, juara Piala Malaysia dan juara Piala Sultan Selangor," katanya.

Perkara itu dikatakannya ketika satu sesi temu bual bersama sebuah agensi media Indonesia yang berjaya menarik perhatian ramai pihak.

Tambahnya lagi, kejayaannya untuk bergelar penjaring terbanyak Piala FA juga memainkan peranan penting dalam menaikkan lagi reputasinya sepanjang bersama skuad Gergasi Merah.

Selain beraksi bersama Selangor FA, Bambang pernah beberapa kali berkhidmat bersama Persija Jakarta yang merupakan antara kelab terbesar di Indonesia.

Pencapaiannya di peringkat antarabangsa juga tidak boleh dipandang rendah memandangkan dia muncul di tempat ketiga dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman skuad Garuda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram