Selepas 6 bulan ‘bertapa’ di Jepun, FC Osaka 'pulangkan' semula Muhammad Abu Khalil ke pangkuan Gergasi Merah


  • Podium
  • Selasa, 31 Dis 2024

Muhammad Abu Khalil boleh dikatakan prospek hangat dalam skuad Gergasi Merah ketika ini. — Facebook/Selangor FC

PERPINDAHAN pemain muda negara, Muhammad Abu Khalil ke kelab Jepun, FC Osaka secara pinjaman membuka lembaran baharu kepada 'ubi muda' yang berminat untuk melebarkan sayap karier mereka ke negara Matahari Terbit itu pada masa depan.

Namun, selepas hanya enam bulan dan tiada penampilan dalam skuad utama, prospek berusia 19 tahun itu kembali ke pangkuan majikan asalnya, Selangor FC selepas satu kenyataan dikeluarkan.

"Kami ingin memaklumkan bahawa Muhammad Khalil, yang menyertai secara pinjaman dari kelab Liga Super Malaysia, Selangor FC akan meninggalkan FC Osaka pada penghujung musim ini kerana tamat tempoh perpindahan," tulisnya.

BACA LAGI: Muhammad Abu Khalil mahu gunakan pengalaman di Jepun sebaiknya demi Harimau Malaya

BACA LAGI: Kekal disiplin, kuasai bahasa Jepun antara resepi Muhammad Abu Khalil mahu berjaya di J3 League

Sepanjang tempoh pinjamannya, pemain berkenaan tidak berkesempatan beraksi buat pasukan utama FC Osaka, namun peluang bersama sesi latihan pasti memberikan pendedahan bermakna buatnya.

Ini dibuktikan apabila dia diberikan panggilan skuad kebangsaan buat kali pertama ketika kempen Piala AFF yang menyaksikannya menyertai pasukan senior negara meskipun tidak diberikan minit permainan.

WhatsApp Image 2024-12-31 at 3.56.38 PM

Tempoh pinjaman Muhammad di Jepun hanya enam bulan. Agensi

Dalam kenyataan sama, Muhammad meluahkan rasa penghargaan terhadap peluang diberikan kedua-dua kelab itu dengan dia pasti mahu mencurahkan segala ilmu yang diperolehi di luar negara.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengarah, kakitangan kejurulatihan, ahli kelab dan semua syarikat rakan kongsi dan penyokong kami atas sokongan berterusan mereka.

"Walaupun ia adalah tempoh yang singkat, masa indah yang saya habiskan di FC Osaka menjadi aset yang hebat untuk saya. Kami akan terus menyokong FC Osaka!" katanya.

Muhammad mengikuti langkah beberapa pemain lokal yang berkelana ke Jepun pada permulaan karier masing-masing, seperti Wan Zack Haikal Wan Noor serta Hadi Fayadh Abdul Radzak.

Walaupun perpindahan berkenaan tidak membuahkan hasil lumayan, ia sedikit sebanyak membuka peluang lebih besar buat generasi akan datang untuk mencuba nasib di negara Asia Barat itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram