KEHILANGAN Luke Shaw dan Tyrell Malacia akibat kecederaan membuatkan pengurus Manchester United, Ruben Amorim terus runsing untuk menerapkan falsafah permainannya dalam pasukan baharunya itu.
Manakan tidak, dalam lima perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL), mereka hanya mencatatkan satu kemenangan yang sekali gus meletakkan pasukan itu kekal di tangga ke-14 carta.
Jadi, untuk menyelesaikan masalah tersebut, pengurus kelahiran Portugal berkenaan mula mengorak langkah dengan mencari nama-nama baharu menjelang jendela perpindahan yang akan dibuka dalam masa terdekat.
BACA LAGI: Cristiano Ronaldo yakin Ruben Amorim mampu bangkitkan semula Man United
BACA LAGI: Ruben Amorim pengurus paling 'teruk' Man United sepanjang tempoh 100 tahun
Nuno Mendes (kiri) ketika bersama Amorim di Sporting CP. — Agensi
Ketika ini, heboh diperkatakan gergasi bola sepak Eropah tersebut difahamkan mahu membawa masuk bek kiri antarabangsa Portugal, Nuno Mendes yang beraksi buat Paris Saint-Germain (PSG).
Ura-ura tersebut mula timbul sejak November lalu selepas laporan mengatakan pemain itu enggan melanjutkan kontraknya yang akan berakhir pada musim panas 2026.
Ini menjadi petunjuk bahawa bek berusia 22 tahun berkenaan terbuka untuk berhijrah selepas beraksi buat kelab itu sejak dua musim lalu selepas pelbagai kenangan manis sempat direkodkan.
Menyedari perkara itu, Manchester United segera melancarkan perancangan bagi memastikan mereka dapat menyambar pemain tersebut dengan PSG meletakkan nilai perpindahan mencecah £46 juta (RM258.8 juta).
Bruno (kanan) pernah memberi cadangan supaya Manchester United menandatangani Nuno Mendes. — Agensi
Kehadiran Amorim turut menguatkan lagi khabar angin berkenaan kerana dia pasti memahami gaya permainan yang akan diterapkan selepas pernah bekerjasama di kelab lama mereka, Sporting CP sebelum ini.
Malah, perpindahan itu juga pasti direstui kapten pasukan, Bruno Fernandes yang juga pernah memberi cadangan mengenainya memandangkan mereka merupakan rakan sepasukan dalam skuad antarabangsa Portugal.
Tonggak skuad The Red Devils itu pernah meminta pihak kejurulatihan menandatangani Mendes pada April 2021, namun tidak kesampaian selepas pemain tersebut berkelana ke PSG.
Harapan itu mampu direalisasikan sekiranya Manchester United sanggup menyuntik dana mencukupi buat Amorim untuk menilai kemampuannya memilih rekrut baharu pada jendela perpindahan pertamanya di kelab itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram