SABAH FC yang kini sedang menikmati fasa terbaik dalam saingan Liga Super didatangi berita kurang enak apabila dikhabarkan pemain utamanya sedang menjadi buruan pasukan Liga Malaysia (Liga M).
Pemain yang dimaksudkan ialah Stuart Wilkin apabila dikhabarkan Selangor FC sedang mengintai tonggak tengah berkenaan untuk dibawa masuk bagi memperkukuhkan pasukan pada musim depan.
Khabar angin pemain berusia 26 tahun itu akan menyarung jersi Gergasi Merah selepas satu hantaran yang dikongsikan di laman Facebook mendedahkan bahawa kontraknya bersama Sabah FC akan tamat pada 30 November 2024.
BACA LAGI: Tonggak import Sang Penyu hampir tinggalkan kelab, gagal capai kata putus kontrak
BACA LAGI: Jangan ulangi kesilapan lama, 3 jurulatih import bawa 'malang' buat Selangor, Penang dan Terengganu
Meskipun hanya berstatus khabar angin demikian tiada sebarang kenyataan rasmi dari kedua-dua pihak namun ia mendatangkan respons kurang senang daripada ekor The Rhinos susulan Wilkin merupakan watak penting Sabah sejak 2022.
Ada juga sebahagian penyokong yang mula reda sekiranya Wilkin membuat keputusan untuk berhijrah ke Selangor FC dan menganggap ia adalah sebahagian daripada perkembangan kerjaya sebagai pemain bola sepak.
"Terpulang dengan Stuart. Pilih Sabah atau mana-mana pasukan yang bagi tawaran gaji lebih tinggi. Tapi jangan lupa sejarah, kalau bukan Sabah FC, tiada orang kenal Stuart," kata penyokong Sang Badak, Liborius Beh Petrus.
"Semua ini kena tunggu pihak pengurusan untuk menyambung kontrak, kalau tiada tindakan memang Stuart akan berpindah ke pasukan lain," komen salah seorang penyokong Sabah, Raimon.
Tangkap layar status kontrak Wilkin.
Daripada hanya berstatus pinjaman pada musim 2022 sehingga berhasil mendapatkan kontrak tetap bersama Sabah pada tahun berikutnya, pemain warisan Malaysia-England itu sentiasa konsisten memberikan persembahan terbaik.
Bersama Sabah FC, Wilkin menampilkan persembahan yang cukup memukau apabila membantu pasukan itu meraih kemenangan empat kali berturut-turut dalam liga musim ini ketika bertemu Perak FC, Penang FC, Kedah Darul Aman dan Kelantan Darul Naim.
Kehebatan Wilkin mengawal bahagian tengah permainan tidak lagi perlu dipertikai oleh penyokong bola sepak tanah air kerana terbukti ketika bersama Sabah FC dan skuad kebangsaan.
Musim ini, pemain yang pernah beraksi bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) II itu telah menjaringkan tiga gol dalam 11 penampilan bersama Sabah dengan mencatatkan 740 minit permainan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram