
SELEPAS beberapa nama jurulatih dikaitkan dengan Harimau Malaya, kini bekas pengendali kelab Jepun, Peter Cklamovski secara rasmi akan mengetuai cabaran skuad kebangsaan bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2027 pada tahun depan.
Jurulatih berusia 46 tahun itu merupakan anak didik pengendali kelab Inggeris (EPL), Tottenham Hotspurs iaitu Ange Postecoglou semasa di Liga Jepun dan skuad kebangsaan Australia.
Sejak 2020, Cklamovski telah mengendalikan tiga kelab dalam saingan Liga Jepun iaitu Shimizu S-Pulse, Montedio Yamagata dan FC Tokyo.
Selain Cklamovski, kehadiran pemain naturalisasi baharu, Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo akan menambah sengat di barisan serangan Harimau Malaya untuk mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F selepas diundi bersama-sama Vietnam, Laos serta Nepal pada Mac 2025.
Namun begitu, selain Bergson dan Hidalgo ada juga beberapa import Liga Super yang sudah melengkapi syarat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mewakili skuad kebangsaan.
Majoriti senaraikan empat calon pemain import yang boleh membantu Cklamovski bersama Harimau Malaya tahun depan:
1. Alex Agyarkwa
Bakal memasuki tahun kelima pada musim depan, Alex Agyarkwa antara calon sesuai untuk beraksi bersama Harimau Malaya bagi membantu Cklamovski dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027.
Antara arkitek cemerlang Selangor FC sejak tiga musim berturut-turut, Agyarkwa bakal menjadi prospek masa jangka panjang buat Harimau Malaya kerana usianya yang masih muda.
Musim ini, Agyarkwa tidak banyak beraksi di dalam Liga Super kerana baru pulih daripada kecederaan selepas menjadi mangsa kekasaran pemain-pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi final Piala FA pada Ogos lalu.
2. Jordan Mintah
Penyerang Kuching City FC, Jordan Mintah dijangka menjadi prospek naturalisasi musim 2025 selepas lima tahun beraksi di Malaysia iaitu sejak Januari 2020.
Musim ini menyaksikan Mintah meledak lima jaringan daripada 14 penampilan buat The Cats.
Baru berusia 29 tahun, pemain kelahiran Ghana itu memulakan kariernya berama Terengganu FC pada Januari 2020 sebelum dipinjamkan ke Kuala Lumpur City FC bagi musim 2022.
Mintah sempat kembali ke pasukan Pantai Timur itu pada penghujung musim 2022 sebelum berhijrah ke Kuching City awal musim ini.
Ketajaman Mintah di depan pintu gawang dijangka mampu memperbaiki jentera serangan skuad kebangsaan yang kini dilihat telah kehilangan taring.
3. Rafael Vitor
Rafael Vitor merupakan ketua pasukan Penang musim ini dengan dia berpotensi untuk dinaturalisasikan pada Januari 2025.
Hadir ke Penang sejak Januari 2020, Rafael Vitor menjadi nadi utama bagi posisi pertahanan tengah pasukan Penang.
Rafael bakal menginjak ke usia 32 tahun pada 2025 dan ia mungkin umur yang sesuai buat pemain kelahiran Brazil itu mewakili skuad Harimau Malaya.
4. Giancarlo Gallifuoco
Selepas tiba di Kuala Lumpur (KL) City FC pada 2021, pemain kelahiran Australia, Giancarlo Gallifuoco terus menjadi salah seorang import terbaik dalam Liga Super.
Ketinggiannya yang mencecah 1.87 meter (m) sudah cukup untuk memberikannya kelebihan dari segi fizikal bagi bersaing dengan penyerang-penyerang lawan.
Malah, Giancarlo juga dikatakan memiliki kepantasan dalam mendapatkan semula bola daripada pihak lawan dengan ia merupakan satu kelebihan buatnya.
Kehadirannya juga membolehkan skuad Warga Kota mencatatkan sejarah tersendiri apabila dia membantu mereka muncul juara dalam Piala Malaysia 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram