BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
DALAM satu hantaran Tunku Mahkota Johor (TMJ) di media sosial pada Jumaat mengenai pelantikan ketua pegawai eksekutif pasukan kebangsaan yang hampir selesai, terselit satu soalan di ruangan komen: “Salam Tuanku, saya dari Terengganu, boleh tak izinkan Safawi dengan Akhyar main di semifinal Piala Malaysia nanti, bukan apa untuk meriahkan lagi game je.”
Terkeluar dari tajuk hantaran asal, namun tidak salah untuk warganet itu membuat pertanyaan.
Walaupun soalannya itu mendapat jawapan rakan maya yang lain, antaranya mengesyorkan dia fahamkan dulu ‘gentleman’s agreement’ di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC membabitkan peminjaman Safawi Rasid dan Akhyar Rashid kepada skuad Hitam Putih itu.
BACA LAGI: Umarbek tinggalkan Selangor, peluang cerah buat Kinoshi contohi stail Terengganu FC
Syarat peminjaman tidak membenarkan kedua-duanya diturunkan menentang pasukan majikan asal mereka, baik dalam perlawanan liga, Piala Sumbangsih, Piala FA mahupun Piala Malaysia. Noktah.
Syarat-syarat itu belum berubah hingga kini.
“Dia macam ni lah brother, ambe pun dari Terengganu. Kalau pengurusan bayar full gaji settle terus,” kata satu lagi komen, sambil seorang lagi menokok: “Pikirkan dulu pasal kontrak. Kalau gajinya masih sebahagian dibayar oleh parent club (kelab yang memberi pinjaman), maka mustahil dari segi undang-undang.”
“Kalau on loan (dalam pinjaman) tapi gaji dibayar penuh oleh pasukan, boleh bermain tapi kalau gaji dibayar oleh JDT 50-50, rasanya tak boleh main sebab dalam kontrak ada tulis macam tu kalau tak silap,” ciap seorang lagi manakala Faisal Mustapha menyimpulkan: “Dah bagi Azam Azmi main lawan JDT tu OK la. Jangan minta paha pula.”
Komen-komen berkenaan menunjukkan peminat cukup peka dengan apa yang dikatakan ‘perjanjian budiman’ membabitkan persetujuan JDT meminjamkan pemainnya kepada kelab lain agar mereka mendapat minit permainan berbanding ‘diperam’ di kelab asal kerana perebutan tempat yang sengit dalam pasukan.
Bukan hanya Safawi, Akhyar dan Azam, pemain pinjaman JDT yang lain – antaranya Manuel Hidalgo (Sri Pahang FC), Declan Lambert, Ryan Lambert (KL City FC), Syafiq Ahmad (KDA FC), Syamer Kutty Abba (Penang FC), Haziq Nadzli (Perak FC), Ramadhan Saifullah (Kuching City FC), Daniel Ting (Sabah FC) dan Danial Amier Norhisham (Kuching City FC) – juga terikat dengan perjanjian serupa.
Kedua-dua Safawi dan Akhyar tiada dalam senarai ketika Terengganu FC tewas 0-4 kepada JDT dalam aksi liga di Kuala Terengganu pada 26 Julai lalu – menggambarkan mereka mematuhi syarat perjanjian pinjaman masing-masing.
Cuma apa yang menjadi luar biasa ialah apabila skuad Hitam Putih itu mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala Malaysia untuk berhadapan dengan JDT selepas menyingkirkan Negeri Sembilan FC dengan agregat 6-2 dalam suku akhir pada 21 Disember lalu.
“Alangkah baiknya kalau Safawi dan Akhyar dapat turun menentang JDT nanti". Itulah yang menjadi bualan dan harapan penyokong Terengganu FC yang harus terbayangkan pertemuan kedua-dua pasukan dalam separuh akhir musim 2018.
Di bawah kendalian Irfan Bakti Abu Salim ketika itu, Sang Penyu menang perlawanan pertama 1-0 di halaman sendiri pada 6 Oktober dan kemudian bangkit mengikat JDT 2-2 hasil dua gol Tchetche Kipre di Stadium Larkin pada 20 Oktober untuk menempah tempatnya dalam final dengan agregat 3-2.
Tidak salah untuk penyokong Terengganu menyuarakan harapan tapi mereka juga harus akur dengan ketentuan.
Mungkin ada yang berpandangan kalau JDT berasakan ia pasukan terbaik – menduduki ranking kelima di Asia dan pertama di Asia Tenggara berdasarkan Opta Power Ranking pada 2 Oktober 2024 – maka ia tidak harus takut untuk membenarkan Safawi dan Akhyar beraksi di pihak lawan.
Budi bicara berkenaan tentunya akan meluangkan satu lagi kesempatan untuk JDT mengukur kejituannya selain beradu kekuatan di peringkat Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di mana ketika ini ia menduduki tangga keenam Kumpulan A setelah menang dua, seri dua dan kalah dua.
Sembang-sembang berkenaan dihangatkan lagi oleh legenda bola sepak Terengganu, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor, pada 25 Disember lalu dengan berasakan pihak pengurusan kelab Pantai Timur itu akan membuat permohonan kepada JDT untuk dibenar menurunkan Safawi dan Akhyar dalam kedua-dua aksi separuh akhir pada 17 Januari dan 1 Februari nanti.
Namun, sebelum penyokong Terengganu terus hanyut dalam lamunan, elok juga diperingatkan apa yang berkaitan sebelum ini.
Menjelang perlawanan Piala Sumbangsih pada 24 Februari 2023, pemain yang dipinjamkan JDT, Liridon Krasniqi, membuat hantaran di laman Instagram sebagai menyatakan sokongan kepada rakan-rakan sepasukannya di Terengganu FC: “Semoga berjaya rakan-rakan. Malangnya, saya tidak boleh bersama kalian untuk berada di atas padang malam ini. Jangan menyerah, kita mampu lakukannya.”
TMJ membalas kepada Liridon dengan memberi cadangan agar gaji pemain itu dibayar oleh rakan- rakannya di Terengganu. Hantaran itu bagaimanapun segera dipadamkan tidak lama kemudian.
JDT menang perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri itu 2-0 hasil jaringan Juan Muniz dan Bergson da Silva.
Dalam pada itu, harus ada hikmah andainya Safawi dan Akhyar tidak dapat diturunkan.
“Takut Safawi dan Akhyar tak perform 100% lawan parent club. Akan disalahkan kemudian hari oleh rakyat Terengganu,” jawab Razwan Rahman kepada soalan asal Yus Iman seperti dinyatakan awal tadi.
“Kang bila bagi main, bila kalah cakap macam-macam pula dekat player... baik tak payah, JDT bagi Azam main pun dah kira OK tu,” tambah Muhamad Aliffuddin.
Elok kalau polemik harapkan Safawi dan Akhyar boleh turun lawan JDT terhenti setakat ini dan serahkan kepada ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali, buat perancangannya.
Tanpa mengira siapa pun diturunkan, biarkan pasukan lebih baik dan lebih bertuah pada hari perlawanan yang unggul di penghujungnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram