IDENTITI siapakah yang akan mengisi jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) bagi skuad kebangsaan masih lagi menjadi tanda tanya walaupun pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengatakan pelantikan itu semakin hampir.
Pada Jumaat, Tunku Ismail mengatakan urusan pelantikan CEO Harimau Malaya semakin hampir dengan ciri-ciri pengisi jawatan itu sepatutnya mempunyai kefahaman mendalam dalam urusan bola sepak.
Selain itu, CEO Harimau Malaya juga mempunyai nilai keusahawanan yang tinggi sambil pernah mempunyai rekod beraksi di peringkat tertinggi dunia.
BACA LAGI: Hanya TMJ tahu apa yang terbaik, saya sayang Malaysia — Bergson
BACA LAGI: Pertemuan TMJ-Madame Pang buka pintu pemain muda ke Thailand, buka ruang timba ilmu
"Ketua pegawai eksekutif pasukan kebangsaan Malaysia mestilah seorang yang memahami bola sepak dan mengetahui selok-belok sukan ini secara profesional supaya dapat menghubungkan aspek teknikal, komersial, dan hubungan interpersonal dalam bola sepak.
"Beliau mestilah seorang yang bukan sahaja pernah bermain di peringkat tertinggi, tetapi juga seorang usahawan yang mampu memacu kepentingan komersial Harimau Malaya.
"Selain itu, beliau juga perlu berupaya memberi nasihat kepada liga berkenaan dasar-dasar yang boleh secara langsung dan tidak langsung meningkatkan kedudukan pasukan kebangsaan kerana liga yang kuat dengan lebih banyak pasukan yang diuruskan dengan baik akan meningkatkan standard bola sepak Malaysia," kata TMJ.
Dengan begitu banyak pembayang diberikan oleh TMJ, ia sudah pasti menarik perhatian penyokong untuk berteka-teki siapakah yang bakal mengisi jawatan tersebut.
Beberapa nama mula dipetik dengan untuk mengisi kekosongan tersebut termasuklah CEO KL City FC iaitu Stanley Bernard dan bekas pemain JDT, Luciano Figueroa.
Kedua-dua figura itu dilihat cukup sepadan dengan pembayang diberikan oleh TMJ. Malah, mereka juga cukup memahami suhu bola sepak Malaysia.
"Adakah Figueroa?," tanya Mikhail Riad.
"Stanley CEO KL City kot," teka Zulkefli Abu.
Sebelum ini, langkah pertama revolusi Harimau Malaya dilakukan dengan melantik Peter Cklamovski sebagai jurulatih skuad senior dan Nafuzi Zain sebagai pengendali skuad bawah 23 tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram