[VIDEO] Kalau terlepas khidmat Forestieri, 3 bekas bintang JDT boleh jadi buruan Bojan Hodak


  • Podium
  • Jumaat, 27 Dis 2024

Persib Bandung mungkin sukar mendapatkan khidmat Forestieri menjelang jendela perpindahan kedua Liga Indonesia. — Instagram/Forestieri

NAMA bekas penyerang sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Fernando Forestieri menjadi perbincangan di Indonesia selepas dia dikhabarkan akan mewarnai saingan Liga 1 Indonesia menjelang jendela perpindahan pada Januari nanti.

Bermula dengan khabar angin akan menguatkan barisan hadapan Persis Solo hingga diinginkan oleh penyokong Persib Bandung, ia bukti Forestieri kekal relevan walaupun sudah hampir tiga bulan sepi dari dunia bola sepak.

Antara Persis Solo dan Persib Bandung, petunjuk semasa menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee lebih terarah kepada Forestieri apabila sebelum ini bekas pengendali Sabah itu sudah memberi petunjuk mengenai import baharu mereka.

BACA LAGI: Persis Solo kononnya bakal dicaras, fans mahu Bojan Hodak 'hijack' pembelian Forestieri sebelum disambar OKS

BACA LAGI: Penyokong gembira pemergian Luka, sedih Jesper umum aksi terakhir bersama Perak FC

Jika benar skuad Laskar Sambernyawa berhasil menandatangani pemain kelahiran Argentina itu, ia pasti mengecewakan peminat Persib Bandung susulan rata-ratanya mahu mendapatkan sentuhan penyudahnya.

Dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), Forestieri menjaringkan 50 gol dalam 72 penampilan bersama skuad Harimau Selatan, ia merupakan bukti kukuh bahawa pemain berkenaan mampu menaikkan mutu barisan serangan pasukan yang mengambil khidmatnya.

Namun, kehilangan peluang mendapatkan Forestieri bukan bermaksud satu kerugian besar untuk Persib Bandung memandangkan mereka boleh mendapatkan beberapa bekas pemain berkualiti Harimau Selatan.

1) Leandro Velazquez

12

Leandro kini berstatus ejen bebas selepas meninggalkan JDT pada Disember lepas.

Penghujung musim 2023 dikejutkan dengan berita kurang gembira dari kem Harimau Selatan apabila watak penting kemenangan Piala AFC 2015 mereka iaitu Leandro Velazquez digugurkan dari kem JDT.

Selepas kembali menyertai JDT pada 2019, Leandro telah menjaringkan 31 gol dan melakukan 27 bantuan jaringan, sekali gus membantu Harimau Selatan menjuarai Liga Super sebanyak lima kali berturut-turut.

Sejak meninggalkan JDT pada penghujung Disember 2023, pemain tengah itu masih tidak terikat dengan mana-mana kelab sehingga ramai tertanya-tanya mengenai perkembangan karier bola sepaknya.

Daripada kemahirannya terkubur begitu sahaja, lebih baik Bojan Hodak sebagai pengendali Persib Bandung cuba mendekati dan memujuk Leandro untuk menyertai pasukannya bagi memperkasakan bahagian tengah skuad Pangeran Biru.

2) Takahiro Kunimoto

Pemain yang menyertai Harimau Selatan pada pertengahan musim 2023, Takahiro Kunimoto juga wajar menjadi buruan Persib Bandung apabila difahamkan kontraknya bersama kelab semasa iaitu Liaoning Tieren akan tamat pada Disember ini.

Kunimoto dilabel sebagai import 'scam' JDT selepas bekas tonggak Jeonbuk Hyundai itu gagal mencipta impak seperti yang diharapkan pada pusingan kedua Liga M sehingga namanya digugurkan di akhir musim lalu.

Usai melangkah keluar daripada Harimau Selatan, pemain berusia 27 tahun itu cemerlang bersama Liaoning Tieren apabila sudah mencetak empat gol dan tujuh bantuan jaringan dalam 25 perlawanan Kunimoto diturunkan.

Dengan pasukan China itu masih tidak menawarkan kontrak lanjutan kepada Kunimoto, Persib Bandung boleh mempertimbangkan memberi tawaran lumayan bagi menggunakan pengalamannya di pentas Asia sekiranya Pangeran Biru layak ke saingan Liga Juara-Juara Asia pada musim 2025/2026.

3) Brian Ferreira

Pemain tengah menyerang, Brian Ferreira menyertai JDT pada Januari 2017 selepas skuad Harimau Selatan ingin mencari pengganti untuk Jorge Pereyra Diaz yang dipinjamkan ke kelab Itali, Lion.

Meskipun sudah setahun tidak menyarung jersi mana-mana pasukan, Ferreira yang sudah berusia 30 tahun itu masih relevan dalam dunia bola sepak kerana pengalamannya pernah bermain di pelbagai liga.

Liga Indonesia antara liga yang pernah diwarnai pemain kelahiran Argentina berkenaan dengan dia menyarung jersi pasukan seperti PSS Slemaan (2019-2020), Madura United (2020), Persela Lamongan (2020-2021) dan PSIS Semarang dari Ogos 2021 hingga 2022.

Pengalaman banyak di empat kelab Indonesia itu menjadi nilai tambah buat Ferreira apabila dia tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan suasana bola sepak tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram