KECOH arena bola sepak Indonesia apabila dikhabarkan bekas bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Fernando Forestieri akan menyertai pasukan Liga 1 Indonesia iaitu Persis Solo pada jendela perpindahan kedua nanti.
Khabar angin itu bermula selepas pengendali Persis Solo, Datuk Ong Kim Swee difahamkan mahu membawa masuk pemain baharu bagi membantu pasukannya itu keluar dari zon penyingkiran.
Selain itu, desas-desus Forestieri bakal menyertai pasukan yang kini menghuni tangga ke-16 Liga 1 itu juga bermula apabila dilaporkan Persis berpotensi kehilangan khidmat penyerang mereka iaitu Karim Rossi.
BACA LAGI: Penyokong gembira pemergian Luka, sedih Jesper umum aksi terakhir bersama Perak FC
Dua petunjuk berkenaan membuatkan penyokong skuad Laskar Sambernyawa semakin yakin bekas penyerang Harimau Selatan itu merupakan sasaran utama Persis untuk membantu mereka di pusingan kedua musim 2024/2025.
Dalam saingan Liga Malaysia, Forestieri menjaringkan 50 gol dalam 72 penampilan bersama JDT, pencapaian cukup memberangsangkan dari pemain itu memandangkan keperluan barisan hadapan Persis Solo yang kurang produktif dari segi menjaringkan gol.
Bagaimanapun, kemahiran dan ketajaman penyudah yang ada pada pemain kelahiran Argentina itu bukan hanya menjadi buruan Persis susulan pesaing mereka iaitu Persib Bandung juga mahu mendapatkan Forestieri.
Tidak ada kenyataan rasmi daripada juara Liga 1 Indonesia musim 2023/2024 itu mengenai misi mendapatkan Forestieri namun penyokong Persib menggesa pengendali, Bojan Hodak untuk mencarasnya daripada Kim Swee.
Hodak menjadi jurulatih Persib Bandung pada Julai 2023. — Agensi
"Sila datang ke Persib Forestieri, Bojan Hodak tolong lakukan tugas anda," kata penyokong skuad Pangeran Biru, Kwpooo77.
"Tolong angkut dia (Forestieri) ini Persib," gesa penyokong Persib Bandung, radityapjntr.
Hubungan baik antara Persib Bandung dan juara 10 kali Liga Super berkenaan boleh menjadi faktor sokongan untuk mempengaruhi keputusan pemain yang tidak terikat dengan mana-mana pasukan itu.
Bekas pemain import Persib, Levy Madinda yang sebelum ini dibawa masuk dari Harimau Selatan dan Hodak mempunyai sejarah menjadi pengendali JDT pada musim 2014 hingga 2015 boleh menjadi individu memujuk Forestieri ke skuad Pangeran Biru. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram