[VIDEO] Selangor FC rugi lagi, Ayron tak perlu masa lama belanja aksi mantap


  • Podium
  • Khamis, 26 Dis 2024

Ayron sudah meledak dua gol dan membuat dua bantuan jaringan dalam 11 perlawanan bersama CD La Equidad. — Instagram/Ayron

PEMENANG anugerah Kasut Emas Liga Super musim 2023, Ayron Del Valle membuktikan kualitinya lagi dengan kali ini penyerang berkenaan baru sahaja memberikan aksi sukar dilupakan untuk kelab baharunya, CD La Equidad.

Ayron menyertai CD La Equidad pada September lepas apabila pemain kelahiran Colombia itu membuat keputusan untuk menamatkan kontrak bersama kelab Bolivia, Always Ready selepas hampir lima bulan berkhidmat.

Dua bulan bergelar ejen bebas membuatkan nama Ayron sebelum ini kembali menjadi igauan penyokong kelab Liga Super, yang rata-ratanya menyimpan hasrat untuk melihat dia membantu barisan hadapan pasukan masing-masing.

BACA LAGI: Selangor kekalkan 2 import projek naturalisasi, tapi fans masih tagih khidmat Ayron del Valle

BACA LAGI: Dari benci jadi sayang, fans Selangor mahu Ayron del Valle kekal beraksi musim depan

Bagaimanapun, hasrat berkenaan hanya kekal cita-cita selepas Ayron menyertai La Equidad pada September lepas dan sedang menikmati prestasi terbaiknya bersama kelab Colombia itu.

Dalam tempoh hampir empat bulan menyarung jersi La Equidad, pemain berusia 35 tahun berkenaan sudah meledak dua gol dan membuat dua bantuan jaringan dalam 11 perlawanan Ayron diturunkan.

Akaun gol dan hantaran bantuan itu dijangka akan terus menambah apabila melihat gaya permainan serta keserasian Ayron bersama rakan sepasukannya itu. Selain itu. suasana Liga Colombia juga sudah sebati dalam karier bola sepak Ayron.

Perkembangan positif bekas penyerang Gergasi Merah itu pastinya disenangi penyokong Selangor FC sehingga ada juga yang masih beranggapan Selangor rugi besar melepaskan khidmat Ayron.

Walaupun hanya satu musim bersama Selangor namun aksi atas padang Ayron meninggalkan impak positif buat penyokong lagi-lagi dari segi aspek penyudahnya bersama Gergasi Merah pada musim lalu.

Sepanjang 31 perlawanan domestik Ayron diturunkan bersama Selangor, penyerang berketinggian 1.75 meter berkenaan telah mengumpul 24 jaringan gol dan lima bantuan jaringan.

Bukan itu sahaja, persefahaman yang baik antara Ayron dengan pemain seperti Faisal Halim dan Yohandry Orozco berjaya membantu Selangor menamatkan saingan liga di tangga kedua serta layak untuk beraksi di saingan AFC Champions League (ACL) 2 musim ini.

Bagaimanapun, hasrat untuk melihat Ayron kembali ke Lembah Klang tidak akan berlaku dalam waktu terdekat ini dengan jadual perpindahan Liga Malaysia (Liga M) hanya akan dilaksanakan pada musim baharu nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram