SRI Pahang FC menempah tiket suku akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan Selangor FC 3-2 melalui keputusan agregat dalam aksi pusingan 16 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad (1 Disember).
Skuad Pantai Timur itu yang mengikat Selangor 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh baru-baru ini berjaya memenangi aksi kedua di Stadium MBPJ 2-1 untuk menempah pertemuan dengan Perak FC di suku akhir.
Kekalahan itu juga menyaksikan pengendali baharu Selangor, Katsuhito masih belum berjaya meraih kemenangan selepas dua perlawanan mengemudi Gergasi Merah.
BACA LAGI: Kata-kata Jeonbuk Hyundai beri Selangor harapan layak pusingan kalah mati ACL 2
BACA LAGI: 'Harap musim depan Safuwan jadi striker', fans Selangor FC penat aksi longlai pemain import
Melihat kekalahan daripada itu, rata-rata penyokong Selangor mahu pihak pengurusan melakukan rombakan pemain dengan membawa masuk lebih ramai bintang berkualiti.
Majoriti senaraikan tiga nama wajar dipertimbangkan oleh Selangor jika mahu lebih ampuh musim depan:
1. Adam Nor Azlin
Selepas menyertai Sri Pahang FC musim ini, karier Adam Nor Azlin bagai kembali pulih apabila sering menjadi pilihan pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad untuk diletakkan dalam barisan kesebelasan utama pasukan.
Beraksi dalam 11 perlawanan Liga Super dan dua jaringan memberi makna bahawa pemain berusia 28 tahun itu telah kembali ke prestasi sebenarnya selepas lama diperam dalam skuad Johor Darul Ta'zim (JDT).
Pemain yang pernah menyarung jersi Gergasi Merah itu juga merupakan anak kelahiran negeri Selangor.
Persembahan Adam ketika membantu menewaskan Selangor di benteng pertahanan wajar mendapat pujian daripada penyokong bola sepak tempatan.
2. Nazmi Faiz
Sebut sahaja Nazmi Faiz, sudah pasti ramai penyokong tanah air mengenali pemain senior Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.
Begitu pun, persaingan sengit dalam pasukan Harimau Selatan menyaksikan pemain kelahiran Shah Alam, Selangor itu hanya memanaskan bangku simpanan JDT apabila sekadar merekodkan 445 minit permainan musim ini.
Dalam usaha untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan, Nazmi pastinya tidak akan mensia-siakan peluang sekiranya diberi kesempatan untuk pulang semula ke Selangor.
Keputusan itu dilihat mampu memberi ruang baginya untuk terus aktif bermain, terutamanya dengan pasukan seperti Selangor yang memerlukan pemain berpengalaman.
3. Alif Mutalib
Ketika kemenangan 6-0 JDT ke atas KL Rovers pada Rabu (30 November) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor beberapa pemain muda berjaya menarik perhatian ramai.
JDT memberikan Alif Mutalib, G. Pavithran dan Chrisitian Abad untuk bersama skuad utama Harimau Selatan dan ia berjaya menarik perhatian penyokong yang hadir dengan persembahan mereka.
Tumpuan nyata terarah kepada Alif yang beraksi di bahagian sayap dengan persembahannya mengingatkan penyokong Harimau Selatan kepada Arif Aiman Hanapi.
Melihat kepada potensi yang ada padanya, ramai berpendapat dengan latihan yang betul, Alif boleh menjadi cemerlang seperti Arif yang kini merupakan watak utama JDT dan skuad kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram