Jadual padat Januari, Februari buat dada Badrul Afzan kembang kempis


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Khamis, 26 Dis 2024

Badrul Afzan mengekalkan pendiriannya bahawa Terengganu FC tidak perlu berasa kerdil terhadap pasukan lain. — Facebook/TFC

BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

DARIPADA kedudukan selaku ketua jurulatih interim bermula 2 Oktober lalu, Badrul Afzan Razali mendapati dirinya tidak menang tangan. Tujuh perlawanan dalam tiga saingan berbeza pada permulaan 2025 cukup membuatkan dadanya kembang kempis.

Di antara aksi Piala Shopee, separuh akhir Piala Malaysia dan Liga Super, ketiga-tiganya disasarkan ketua jurulatih Terengganu FC itu untuk diberi keutamaan sama rata tanpa mendiskriminasikan mana-mana.

“Ketiga-tiganya sama penting dengan sasaran untuk mengusahakan pencapaian terbaik. Bagaimana kami akan menghadapinya bergantung kepada ketersediaan pemain pada masa itu.

“Pelik memang pelik tapi nak buat macam mana kerana jadual sudah ditetapkan. Bagi saya, semuanya penting belaka,” kongsinya dengan Bola Pegun.

BACA LAGI: Penyokong gembira pemergian Luka, sedih Jesper umum aksi terakhir bersama Perak FC

BACA LAGI: Mutu pengadilan disebut punca Perak berputih mata di Temerloh, kempunan muncul semifinalis Piala Malaysia

Jadual Terengganu FC akan bermula dengan kunjungan ke gelanggang Shan United di Myanmar untuk aksi Piala Shopee pada 8 Januari, disusuli aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Kuala Terengganu pada 17 Januari. Berselang lima hari, mereka akan ke gelanggang PSM Makassar pada 22 Januari.

Sekembali dari Sulawesi Selatan, mereka akan menjadi tuan rumah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk aksi Liga Super pada 25 Januari. Berjarak seminggu kemudian, mereka akan berdepan semula dengan Harimau Selatan untuk separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada 1 Februari.

Kunjungan ke gelanggang BG Pathum United di Pathum Thani, Thailand pada 5 Februari dan aksi liga dengan Negeri Sembilan FC di Stadium Paroi pada 9 Februari melengkapkan tempoh sebulan yang sesak dan menyiksakan. Tidak berakhir di situ, aksi liga dengan Kuala Lumpur City FC di Kuala Terengganu pada 14 Februari sedia menanti sebelum mereka dapat menikmati rehat dua minggu.

Selepas mengharungi dua perlawanan Piala Shopee -- tewas 2-3 di tangan kelab Kemboja, Svay Rieng FC (21 Ogos) dan seri 2-2 dengan kelab Vietnam, Thanh Hoa FC (25 September) untuk menduduki tangga kelima Kumpulan A – Terengganu FC masih menyasarkan dua tangga teratas untuk layak ke separuh akhir.

ss

Jadual Piala Shopee yang bakal diharungi TFC.

“Kalau mampu mengutip mata penuh menentang Shan (pendahulu liga Myanmar), kami masih berpeluang. Lagipun, pengurusan memang dari awal menetapkan sasaran ke separuh akhir. Jadi, Piala Shopee tidak akan dianaktirikan.

“Balik dari Makassar, dua hari kemudian kami akan jumpa JDT (untuk aksi liga), ini macam ketat sedikit. Harap-harap kami ada cukup masa untuk pemulihan dan tentunya latihan selepas itu bukan yang berintensiti tinggi.

“Ya memang betul kami akan berhadapan dengan JDT tiga kali dalam tempoh 14 hari. Saya nampak ia beri kelebihan kepada lawan kerana mereka akan beraksi dalam separuh akhir kedua (Piala Malaysia) di gelanggang mereka sendiri,” kata jurulatih berusia 48 tahun itu.

Badrul Afzan mengekalkan pendiriannya bahawa Terengganu FC tidak perlu berasa kerdil dan berpesan kepada pemain-pemainnya agar tidak usah terlalu menghormati lawan.

Semua orang tahu kekuatan JDT dan kami pastinya akan mengkaji permainan mereka sebelum turun berdepan mereka. Kami menghormati JDT tapi tak boleh terlalu hormati mereka. Kami akan berdepan mereka dengan memberikan yang terbaik," ulangnya seperti ulasannya kepada media selepas menyingkirkan Negeri Sembilan FC dengan agregat 6-2 dalam suku akhir Piala Malaysia 21 Disember lalu.

tfc

TFC mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan NSFC dengan agregat 6-2. — Facebook/TFC

Musim lalu, Terengganu FC tewas 1-3 kepada JDT dalam final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 8 Disember 2023 – menamatkan penantian lima tahun untuk ke final sejak tunduk kepada Perak pada 2018.

Undian bagaimanapun menetapkan kedua-dua pasukan bersemuka lebih awal di peringkat separuh akhir musim ini.

Seterusnya dalam Liga Super yang berbaki sembilan perlawanan lagi, Badrul Afzan menyasarkan kesudahan top 5 untuk meningkat setakuk daripada tangga keenam musim lalu.

Berkedudukan di tangga keempat ketika ini dengan 24 mata selepas 15 perlawanan, skuad Sang Penyu itu enggan membenarkan aksi Piala Shopee dan Piala Malaysia daripada memesongkan matlamat mereka untuk berkesudahan dalam kelompok atas.

Selepas aksi menentang Kuala Lumpur City FC pada 14 Februari, perjuangan mereka akan bersambung dengan menghadapi Sri Pahang FC (27 Feb - A), Sabah FC (7 Mac - H), Selangor FC (5 Apr - A) dan PDRM FC (12 Apr - A). Satu jadual tertangguh menentang Kuching City FC dan perlawanan terakhir melawan Kedah Darul Aman (KDA) FC belum dimasukkan dalam kemas kini jadual terbaharu.

suhaimi

Suhaimi kini sedang menerima rawatan akibat kecederaan dialaminya.

“Kalau dapat top 4 atau top 5 Alhamdulillah,” kata Badrul Afzan yang melihat salah satu aksi menentang Sabah FC akan berlangsung dalam bulan Ramadan selain tempoh rehat panjang di antara 7 Mac dan 5 April bagi meluangkan penyertaan Harimau Malaya dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027.

Malaysia akan berdepan dengan Nepal pada 25 Mac dan Vietnam pada 31 Mac dalam Kumpulan F – kedua-duanya di tempat lawan.

Badrul Afzan juga berkongsi bahawa pasukannya akan meneruskan perjuangan tanpa penjaga gol utama, Suhaimi Husin, yang mengalami kecederaan lutut MCL (medial collateral ligament) yang akan mengetepikannya sehingga pertengahan tahun depan.

“Dia cedera dalam latihan dan baru jalani pembedahan tiga hari lalu,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram