Isu gaji bakal bunuh liga, bekas tonggak Sabah saran elak boikot latihan


  • Podium
  • Rabu, 25 Dis 2024

KDA FC difahamkan masih belum menemui jalan penyelesaian berhubung isu kewangan mereka. — Facebook/KDAFC

LIGA Malaysia (Liga M) boleh dianggap sebagai liga yang 'unik' apabila teka-teki mengenai pasukan manakah bakal menjadi kelab pertama diaibkan dengan isu gaji yang menjadi sorotan utama di awal musim.

Berbeza dengan suasana bola sepak luar negara apabila topik 'title race' sebagai tajuk utama dengan wujudnya persaingan sengit dari semua pasukan untuk menghuni tangga pertama liga.

Bayangkan sahaja musim ini, maruah kancah Liga Malaysia (Liga M) terus dicemari dengan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan dan setakat ini sudah melibatkan lebih tiga pasukan.

BACA LAGI: Prestasi lampau jadikan Pahang pilihan berbanding Sabah — Legenda The Rhinos

BACA LAGI: Cemerlang bantu Sabah, gelagat cakap bahasa Melayu Gabi jadi nilai tambah jika jadi naturalisasi HM

Isu berkenaan ibarat kudis kian merebak kepada pasukan bertanding setiap tahun dengan ia menunjukkan bahawa sesetengah pasukan seolah-olah tidak belajar daripada pengalaman lalu.

Musim ini insiden hebat menyaksikan kemelut gaji kian membunuh liga apabila ada beberapa pemain memilih untuk memboikot sesi latihan sebagai tanda protes tunggakan gaji berbulan-bulan.

Bagaimanapun, bekas pemain Sarawak FA dan Sabah FA iaitu Bobby Gonzales berpendapat bahawa tindakan memboikot sesi latihan bukan jalan penyelesaian buat pasukan Liga Super apabila ada pasukan.

Hal ini kerana, memilih untuk tidak hadir ke sesi latihan yang intipatinya mengandungi taktikal permainan bagi perlawanan seterusnya hanya akan menganggu prestasi semasa pasukan.

BOBBY

Bekas pemain Sabah FA iaitu Bobby Gonzales. — Facebook/SabahFA

"Pemain masing-masing ada komitmen. Bila gaji sehingga empat bulan tidak dibayar, apa yang mereka nak hulur dan beri makan kepada anak-anak isteri serta keluarga mereka. Jadi nak tidak nak memang ada yang akan boikot.

"Tetapi kalau saya tidak sarankan. Sebaiknya berbincang dengan pengurusan secara baik dan ambil kata putus macam mana untuk uruskan perkara berkenaan," katanya kepada Majoriti.

Sehubungan dengan itu, Bobby yang kini merupakan pengendali interim pasukan bola sepak Sabah menasihatkan agar pasukan Liga Super untuk melakukan perbelanjaan mengikut kemampuan.

Tambahnya, masalah gaji merupakan kerosakan pertama yang akan membunuh Liga M susulan selepas itu ia akan bertukar kepada isu pengurangan pasukan, jumlah perlawanan semakin sedikit dan liga tidak lagi kompetitif.

liga super

Drama isu tunggakan gaji pasukan Liga Super terus berlaku pada setiap tahun.

"Kalau saya daripada pengurusan juga. Orang cakap bila nak berbelanja mengikut kemampuan. Jangan di luar kemampuan. Bila di luar kemampuan, ini yang berlaku. Dengan tajaan tidak ada. Sekarang pun kerajaan negeri tidak memberi sokongan.

"Selepas ini boleh berlaku pengurangan juga. Bagi saya dalam ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kena ambil tindakan yang sewajarnya," tambahnya.

Isu boikot latihan merujuk kepada masalah yang berlaku dalam kem Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila pada September lepas beberapa pemain Sang Kenari memboikot sesi latihan gara-gara isu tunggakan gaji. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram