
BENTENG pertahanan kebal Sabah FC membantu The Rhinos mengesahkan tiket ke separuh akhir Piala Malaysia 2024 dengan agregat 1-0 selepas seri tanpa jaringan pada perlawanan kedua suku akhir menentang Kuching City FC pada Isnin.
Aksi berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah itu menyaksikan bekalan tipis yang dibawa hasil kemenangan di Kuching sebelum ini sudah cukup membantu Sang Badak untuk bertemu Sri Pahang di perlawanan separuh akhir Piala Malaysia.
Tidak dinafikan bahagian serangan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak tampil berbahaya dengan melakukan serangan bertali arus ke arah Damien Lim namun penjaga gol itu bertindak cemerlang untuk menafikannya.
BACA LAGI: ‘Kami tak boleh terlalu hormat,’ TFC tak sabar jumpa JDT di pentas 4 terbaik Piala
BACA LAGI: Piala Malaysia: Fandi renung prospek lepasi rintangan separuh akhir
Selain tangkapan kemas Damien, kredit wajar diberikan kepada barisan pertahanan Sang Badak yang dibarisi oleh Daniel Ting, Kwang Min-ko, Dominic Tan, Rawilson Batuil dan Gabriel Peres kerana berhasil jadi dinding kebal untuk Sabah.
Antara yang paling banyak menerima pujian ialah Peres apabila bek tengah kelahiran Brazil itu bukan hanya cemerlang menjaga benteng pertahanan, malah rajin turun ke hadapan membantu jentera serangan.
Pakej serba lengkap pemain berusia 27 tahun itu menyebabkan penyokong sudah mula memasang impian untuk menyaksikan Peres dimasukkan dalam projek bintang naturalisasi Harimau Malaya.
Selain kualiti atas padang, usaha Peres bercakap menggunakan loghat Sabah juga dianggap sebagai nilai tambah jika pemain yang menyertai Sabah pada Januari 2023 itu menjadi pemain warisan skuad kebangsaan.
Menerusi video keraian selepas kemenangan ke atas The Cats, Peres menunjukkan kebolehannya bercakap menggunakan loghat Sabah dan usahanya itu mendapat pujian penyokong The Rhinos.
"Boleh bah kalau kau. Mantap lah. Baguslah," katanya ringkas dalam video dimuat naik oleh Sabah FC di Facebook rasmi mereka pada Isnin.
Peres juga dianggap sebagai calon naturalisasi gred A apabila dalam tempoh dua tahun bersama Sabah FC, dia sudah menunjukkan kualitinya dalam membantu Sang Badak berada di tiga kelompok teratas.
Antara aksi Peres ketika membantu Sabah menentang The Cats pada Isnin. — Facebook/SabahFC
"Bahagia sudah si Gabi (Gabriel) di Sabah. Boleh tahan sampai boleh dinaturalisasi pemain ini. Pemain gred A," kata penyokong Sang Badak, Kinabalu Kaichon.
"Tidak lama lagi Gabriel pandai cakap bahasa Melayu. Pekat lagi loghat dia," komen penyokong Sabah FC, Tharun Mdkassim.
Untuk info, Peres musim ini sudah merekodkan lima gol dan satu hantaran bantuan buat Sabah FC dalam saingan Liga Super. Khidmatnya dijangka akan terus digunakan dalam aksi menentang Sri Pahang bagi aksi separuh akhir pada 17 Januari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram