'Tan Sri juga tinggalkan KAFA', kata-kata Annuar Musa tak cukup hidupkan TRW


  • Podium
  • Isnin, 27 Mei 2024

Annuar Musa memegang jawatan sebagai Presiden Kafa dari 2009 hingga 2016. — TRW Kelantan FC

SATU kehilangan yang besar apabila kelab bola sepak berpengaruh, Kelantan FC disahkan sudah menamatkan perjuangan mereka di saingan domestik selepas menarik diri kempen Liga Kejuaraan MBSB Bank Liga A1 Semi-Pro (Liga M3) 2024.

Pengumuman mengejutkan dari Presiden The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman itu bukan hanya membawa khabar sedih buat penyokong Kelantan, malah beberapa individu yang pernah menerajui pasukan berkenaan uga merasakan perkara sama.

Antara tampil meluahkan perasaan sedihnya mendengar khabar berkenaan adalah bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang merupakan figura penting di sebalik sejarah kegemilangan kelab Pantai Timur itu.

BACA LAGI: 'Bukan untuk publisiti murahan', impian Datuk Vida dan Kacak ambil alih Kelantan ditolak pula, alasan baharu jadi penghalang

BACA LAGI: ‘TMJ ambil masa bina JDT’, Vida-Kacak akan rujuk Harimau Selatan bila sah miliki TRW

Dalam satu hantaran di laman Facebook pada Ahad, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu melahirkan perasaan sedih dan kesal dengan kejatuhan Kelantan lagi-lagi beliau adalah watak utama ketika TRW meraih gelaran 'treble' pada 2012.

Bukan itu sahaja, Annuar yang memegang jawatan Presiden KAFA dari tahun 2009 sehingga 2016 itu mencadangkan agar skuad TRW dipulangkan semula kepada persatuan negeri berkenaan untuk menerajuinya semula.

"Saya terbaca berita TRW tidak menyertai liga musim ini. Setahu saya keengganan ini bererti TRW bakal hilang hak untuk bermain di liga masa akan datang dan perlu memohon semula saperti pasukan yang baru diwujudkan. Ia tidak automatik.

"Jika demikian saya amat sedih dan kesal dengan situasi ini. Mematikan memang mudah, nak memajukan perlu bertahun lamanya. Dalam situasi begini apakah boleh di serahkan semula TRW kepada KAFA dengan satu nilai 'token' sahaja?

"Dengan demikian TRW boleh diambil alih oleh pihak pihak lain yang boleh dan mampu memulakan 'plan merekayasa' pasukan,dan tidak terkubur. Janganlah ditalkinkan TRW," katanya.

Hasratnya untuk melihat KAFA mengambil alih semula Kelantan FC bagaimanapun tidak mendapat restu para penyokong kerana masih ada yang terimbau saat Annuar meninggalkan TRW sebelum ini.

Selepas beberapa tahun bergiat aktif sebagai Presiden KAFA, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu memilih untuk melepaskan jawatan tersebut dengan isu kewangan mula berlaku.

"Setahu saya Tan Sri juga yang tinggalkan KAFA dulu, benda ini tidak akan jadi jika Tan Sri tidak letak jawatan. Bukan nak judge Tan Sri tapi kata-kata tak akan cukup untuk hidupkan TRW balik. Ia dah terlambat.

"Semestinya saya juga kecewa tapi saya lebih rela TRW terkubur daripada diaibkan seperti musim lepas," kata penyokong Kelantan, Ady Riz yang tidak sanggup melihat KAFA kembali mengepalai kelab itu.

zamsaham

Norizam masih bergelut untuk menyelesaikan masalah gaji pemainnya. — TRW Kelantan FC

Untuk rekod, selepas Annuar melepaskan jawatan, posisi itu kemudiannya digantikan seorang usahawan ternama, Bibi Ramjani Ilias Khan sebelum beberapa individu lain turut mencuba membawa kembali zaman kegemilangan TRW.

Terdahulu, Norizam atau mesra dengan sapaan Zamsaham menjelaskan keputusan pengurusan tertinggi TRW diambil untuk menarik diri dari saingan Liga A1 Semi-Pro setelah melakukan penilaian dan pertimbangan teliti mengenai hal tuju Kelantan FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram