PEMAIN pertahanan Harimau Malaya, Jimmy Raymond berharap agar dapat memberikan persembahan terbaik bagi memastikan skuad kebangsaan berjaya meraih tiga mata berharga untuk melangkah ke peringkat seterusnya.
Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat itu akan menjadi aksi yang cukup penting buat skuad kendalian Pau Marti Vicente kerana mereka memerlukan kemenangan untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala Asean 2024.
Jimmy yang juga merupakan anak jati kelahiran Sarawak itu mempamerkan aksi yang cemerlang selepas diberi peluang beraksi dalam perlawanan bertemu Kemboja, Timor Leste dan Thailand.
BACA LAGI: Kedah-Penang sedang bergelut, Raja Utara milik siapa?
BACA LAGI: Tersiksa jadual padat, Syameer Kutty nekad berjuang bersama Harimau Malaya sedang 'kesakitan'
Pemain kebangsaan, Jimmy Raymond (kanan) berharap agar pasukan dapat memberikan persembahan terbaik bagi memastikan Harimau Malaya meraih tiga mata berharga. — Facebook/FAM
Menurutnya, menentang Singapura bukanlah satu tugas yang mudah namun dia berjanji akan membantu pasukan kebangsaan mendapatkan keputusan positif di SNBJ nanti.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih dan pemain kerana mempercayai saya. Tiga perlawanan yang saya hadapi memang mencabar tetapi ia merupakan satu proses pembelajaran yang baik.
“Saya selesa dalam pasukan kebangsaan setakat ini kerana kami semua adalah keluarga. Saya akan melakukan yang terbaik menentang Singapura dan mencipta sesuatu yang positif untuk negara.
“Saya tidak dapat menentukan pemain mana yang perlu diawasi dari Singapura tapi saya menjangkakan ia akan menjadi perlawanan yang tegang," kata Jimmy.
Dalam tiga perlawanan Kumpulan A sebelum ini, Malaysia mencatatkan satu kemenangan ketika bertemu Timor Leste (3-2), seri 2-2 berdepan Kemboja dan tewas 0-1 menentang Thailand.
Oleh itu, Malaysia pastinya mempunyai peluang untuk mara ke separuh akhir sekiranya berjaya menewaskan Singapura sambil berharap agar Kemboja seri atau tewas bertemu Thailand. — The Star/T.AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram