Bek Perancis antara 5 pemain Liverpool tak turun latihan menjelang aksi berdepan Tottenham


  • Podium
  • Sabtu, 21 Dis 2024

Skuad The Reds sedang sibuk melakukan persiapan menjelang aksi getir dalam EPL pada Isnin. — Agensi

PERLAWANAN genting dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ini semestinya antara Tottenham Hotspur dan pendahulu, Liverpool yang akan berlangsung di Stadium Tottenham Hotspur, London pada Isnin.

Pertemuan kedua-dua pasukan itu sememangnya menyajikan drama hangat beberapa musim kebelakangan ini, termasuk beberapa layangan kad merah selain gol minit-minit akhir.

Malah, dalam pertemuan terakhir di Stadium Anfield pada 5 Mei lalu, aksi sememangnya cukup menarik apabila menyaksikan tuan rumah merekodkan kemenangan 4-2 yang sukar dilupakan penyokong kedua-dua pasukan.

BACA LAGI: Mula dapat rentak, bintang Liverpool akui lebih selesa dengan Arne Slot berbanding Klopp

BACA LAGI: Arne Slot dedah guna taktikal baharu aksi 'debut' bersama Liverpool

wolverhampton-wanderers-fc-v-liverpool-fc-premier-league-5

Konate difahamkan tidak menyertai sesi latihan Liverpool baru-baru ini. — Agensi

Jadi, perlawanan yang akan berlangsung tidak lama lagi itu pasti akan mencuri perhatian ramai, lebih-lebih lagi dengan Liverpool setakat ini hanya mengalami satu kekalahan dalam EPL.

Bagaimanapun, situasi sukar dihadapi skuad The Reds kerana baru-baru ini, laporan mengatakan seramai lima pemain tidak diturunkan ketika sesi latihan menjelang pertembungan epik itu.

Ini termasuk bek tengah antarabangsa Perancis, Ibrahima Konate serta Conor Bradley yang beraksi di bahagian tengah kerana masing-masing sedang dalam proses penyembuhan daripada kecederaan.

Cody Gakpo, Federico Chiesa serta Tyler Morton juga difahamkan tidak bersama-sama pasukan di padang latihan meskipun semua daripada mereka diturunkan semasa kemenangan ke atas Southampton dalam pertemuan suku akhir Piala Liga.

WhatsApp Image 2024-12-21 at 11.46.42 PM

Pertemuan antara Tottenham dan Liverpool kerap menyajikan aksi hangat. — Agensi

Chiesa yang merupakan pemain antarabangsa Itali sebelum ini sememangnya bergelut dengan isu kecederaan sehingga menyaksikannya tidak beraksi buat skuad The Reds.

Bagaimanapun, proses penyembuhannya berjalan lancar sehingga membolehkannya diturunkan ketika berdepan Southampton meskipun hanya beraksi sebagai pemain simpanan pada babak kedua.

Morton juga baru-baru ini kembali dari masalah kecederaan dengan terdapat kemungkinan ketiadaannya hanya di atas keputusan pengurus, Arne Slot yang mahu merehatkannya sebentar.

Pendekatan sama turut diambil terhadap Gakpo yang diturunkan terlalu kerap buat Liverpool musim ini dengan kehadirannya akan memperkuatkan lagi barisan serangan The Reds di tempat lawan.

Kemenangan buat Liverpool akan menyaksikan mereka memiliki kelebihan lima mata berbanding pencabar terdekat, Chelsea sementara Tottenham Hotspur akan melonjak ke tangga ketujuh sekiranya membawa pulang tiga mata penuh. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram