PERTEMBUNGAN penting Malaysia dan Singapura pastinya mendapat perhatian seluruh penyokong kedua-dua buah negara untuk melihat pasukan manakah yang akan terkandas di peringkat Kumpulan A dan siapa mara ke pusingan kalah mati Piala Asean 2024.
Malaysia yang akan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pastinya menagih 100 peratus sokongan daripada ekor Harimau Malaya untuk memastikan aksi terbaik dalam perlawanan terakhir Kumpulan A itu.
Manakala, Singapura pastinya mahu bangkit daripada kekecewaan tewas di tangan Thailand 2-4 sekali gus meranapkan impian mereka untuk mara ke peringkat kalah mati di Stadium Nasional Singapura pada Selasa (17 Disember) lalu.
BACA LAGI: [VIDEO] Bawa aura Serbia, bintang Buriram United, ex-Liverpool mampu bantu Kinoshi di Selangor
Menurut rekod laman sesawang 11v11, perseteruan antara Malaysia dan Singapura bermula sejak 1958 yang mana Harimau Malaya mencatatkan 31 kemenangan dalam 75 pertembungan.
Kemenangan terbesar Malaysia ketika menewaskan Singapura pada 1976 dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa.
Manakala kekalahan terbesar Malaysia di tangan Singapura ialah pada 1985 dalam kejohanan Piala Merlion yang mana skuad kebangsaan tewas dengan keputusan 0-4.
Memberikan tumpuan kepada perlawanan Jumaat (20 Disember) ini, Majoriti imbas kembali tiga rekod perlawanan Harimau Malaya bertemu Singapura yang mana kali terakhir pada 2023.
Dalam tiga perlawanan terakhir di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe dan Kim Pan-gon, Malaysia hanya mencatatkan satu kemenangan yang mana penyokong pernah menjadi saksi skuad kebangsaan tewas di SNBJ pada 2019.
Kekalahan ini pastinya tidak mahu diulangi oleh anak-anak buah Pau Marti Vicente ketika melayani kunjungan Singapura pada Jumaat yang hadir dengan misi penting untuk layak ke pusingan kalah mati Piala Asean 2024.
1. Malaysia 0-1 Singapura (2019)
Kekalahan yang mengejutkan buat anak-anak buah Tan Cheng Hoe pada 2019 selepas Singapura menjaringkan gol pada minit ke-82 menerusi Faris Ramli sekali gus gagal mara ke perlawanan akhir Piala Airmarine.
Cheng Hoe yang ketika itu membariskan Mohamadou Sumareh, Norshahrul Idlan Talaha dan Syazwan Zainon di barisan serangan gagal untuk mengatasi pertahanan Singapura yang diketuai oleh Hariss Harun.
Kejohanan Piala Airmarine juga menyaksikan Singapura mampu menewaskan Harimau Malaya di SNBJ meskipun mempunyai sokongan daripada penyokong tuan rumah.
2. Singapura 2-1 Malaysia (2022)
Perlawanan debut Kim Pan-gon selepas dilantik oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menyaksikan kekalahan pertama pengendali Korea Selatan itu bersama Harimau Malaya.
Pengendali Singapura, Nazri Nasir menurunkan kesebelasan utama terbaik apabila meletakkan Ikhsan Fandi dan Song Ui-yong (naturalisasi) untuk menewaskan Malaysia.
Ia berhasil selepas dua gol Singapura dijaringkan oleh Ikhsan pada minit ke- 30, 76 permainan, manakala Liridon Krasniqi pula meledak jaringan sagu hati buat skuad kebangsaan.
3. Malaysia 4-1 Singapura (2023)
Pertemuan terakhir Malaysia bertemu Singapura ialah dalam kejohanan Piala Asean 2022 yang mana skuad kebangsaan mudah menundukkan The Lions dengan keputusan 4-1 di SNBJ.
Walaupun turun tanpa pemain-pemain utama seperti Arif Aiman Hanapi, Dion Cools serta Matthew Davies, skuad kebangsaan berjaya menang besar hasil jaringan Darren Lok, Stuart Wilkin (dua gol) dan Ezequiel Aguero.
Manakala Singapura hanya menjaringkan gol sagu hati menerusi Faris Ramli sekali gus Malaysia layak ke pusingan separuh akhir Piala Asean 2022 bersama-sama Vietnam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram