'Masih jauh', cuma 2 mata di belakang Liverpool, bos Chelsea kekal berpijak di bumi nyata


  • Podium
  • Selasa, 17 Dis 2024

Maresca percaya terdapat pelbagai aspek perlu diperbaiki Chelsea sebelum boleh menjadikan mereka pencabar kejuaraan. — Agensi

SEKIRANYA hendak dibandingkan dengan dua musim lalu, Chelsea ketika ini berada dalam landasan terbaik dengan rentetan keputusan dicatatkan, termasuk dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ini dapat dilihat menerusi lima kemenangan berturut-turut yang dicatatkan dengan prestasi memberangsangkan itu cukup untuk menceritakan kualiti dimiliki pasukan London terbabit.

Keputusan-keputusan positif itu juga menyaksikan skuad The Blues kini berada di tangga kedua dengan hanya dua mata dibezakan berbanding pendahulu, Liverpool.

BACA LAGI: Padah puji bintang Chelsea, legenda Liverpool dikritik terlepas pandang Salah

BACA LAGI: Mungkin tempang tanpa Palmer, Chelsea sedia 'perangi' Arsenal

WhatsApp Image 2024-12-17 at 2.06.52 PM

Chelsea kini berada di tangga kedua EPL selepas mengharungi 16 perlawanan. Agensi

Kedudukan membanggakan tersebut menyebabkan peminat EPL, terutamanya dalam kalangan penyokong Chelsea beranggapan mereka wajar dilabel pencabar utama kepada takhta musim ini.

Namun, bagi pengendali, Enzo Maresca, perjalanan masih jauh perlu ditempuhi untuk meletakkan mereka sebagai pasukan pilihan berbanding Arsenal dan Manchester City.

"Saya tidak mengambil kira jumlah kemenangan direkodkan kerana ada beberapa perkara saya nampak menunjukkan kita masih belum bersedia untuk bersaing. Sebagai contoh, pasukan yang boleh menjuarai EPL tidak akan dibolosi gol mudah.

"Pada saya, mungkin penyokong boleh meletakkan sasaran itu, tetapi kami di dalam pasukan perlu bersifat realistik. Saya masih berasakan ada pelbagai aspek boleh ditambah baik," katanya.

SEI231982240

Liverpool sememangnya pasukan pilihan untuk menjulang takhta EPL musim ini. — Agensi

Pengurus kelahiran Sepanyol itu memulakan kariernya bersama Chelsea dengan langkah kiri apabila mereka tewas kepada Manchester City dalam perlawanan pertama kempen kali ini.

Namun, kepercayaan diberikan penyokong membolehkannya menerapkan taktikal terbaik dalam pasukan dengan 34 mata sudah dikutip dan hanya dua kekalahan dialami setakat ini.

Kedudukan berkenaan boleh dianggap sesuatu yang positif kerana musim lalu, skuad The Blues yang diuruskan Mauricio Pochettino berada dalam kelompok pertengahan liga.

Selepas ini, skuad The Blues akan menerima kunjungan kelab Ireland, Shamrock Rovers pada Jumaat untuk aksi Liga Konferens Europa UEFA (UECL) sebelum bertandang ke Goodison Park, Merseyside untuk berdepan Everton dua hari kemudian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram