GELARAN Raja Utara menjadi milik Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila berhasil membawa tiga mata berharga selepas menewaskan Penang FC dengan keputusan 1-0 dalam aksi Liga Super 2024/2025 pada Rabu.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah itu menyaksikan jaringan tunggal penyerang sayap, Sukhrob Nurulloev pada minit ke-10 sudah cukup memberi senyuman untuk Kedah sehingga wisel penamat dibunyikan.
Keputusan positif berpihak pada pasukan tuan rumah itu menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan penyokong Penang FC sehingga ada juga yang meletakkan kesalahan di bahu pengadil.
BACA LAGI: Gelaran Raja Utara milik Kedah, fans Penang bengang tak boleh 'makan' lawan tak bergaji
BACA LAGI: [VIDEO] JDT langsung tidak diberi satu kad pun — Fandi Ahmad
Hal ini kerana, penyokong Harimau Kumbang melihat beberapa keputusan yang dibuat oleh pengadil perlawanan iaitu Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi seolah-olah banyak berpihak kepada pasukan tuan rumah.
Misalnya, ketika Sang Kenari mencetak gol, penyokong pasukan pelawat berasakan pengadil sepatutnya memberhentikan permainan kerana terdapat dua pemain mereka yang terbaring kesakitan.
Lebih mengejutkan apabila laman penyokong Harimau Kumbang, Penang Brotherhood mendakwa bahawa Muhammad Khairulsyahmi merupakan anak jati Sungai Petani, dan sekali gus mempengaruh keputusan lebih berpihak kepada Kedah.
Dakwaan laman penyokong Penang mengenai asal-usul Muhammad Khairulsyahmi adalah tepat susulan pengadil itu merupakan produk Persatuan Bola Sepak Kedah dan sudah menjadi pengadil sejak usianya 20 tahun. '
Muhammad Khairulsyami dipilih oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk mengadili perlawanan antarabangsa pertamanya dalam kejohanan Piala Asia Bawah 14 tahun (B-14) di Myanmar.
Muhammad Khairulsyami sebelum ini pernah mengadili perlawanan antara Singapura-Thailand serta beberapa negara lain seperti Laos, Bangladesh dan Kemboja yang berada dalam kumpulan F.
Muhammad Khairulsyahmi pernah ditugaskan untuk mengadili perlawanan Liga Maldives sehingga 2022. — Facebook/FAM
Prestasi Muhammad Khairulsyami dalam perlawanan Singapura-Thailand membuatkan panel pengadil di Myanmar kagum dan menyenarai pendek dia untuk mengadili pentas akhir kejohanan sama pada tahun berikutnya.
Pada 2021, Muhammad Khairulsyami bersama dua pengadil lain terus mendapat kepercayaan daripada pihak luar apabila mereka menggalas tanggungjawab mengendalikan perlawanan utama Liga Maldives.
Bagaimanapun, dakwaan Muhammad Khairulsyahmi membuat keputusan memihak kepada negeri kelahirannya biarlah pihak berkaitan yang memutuskannya dengan luahan sedemikian lebih mewakili pandangan penyokong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram